Keputusan Lembaga Pengampunan berhubung hukuman terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, tidak akan mengubah pendirian kerajaan untuk terus bertindak tegas terhadap kes rasuah dan salah guna kuasa.

Foto: Malay Mail
Memetik laporan Berita Harian, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, prinsip negara hukum yang menjadi asas pentadbiran kerajaan tetap dipertahankan dan keputusan berkenaan tidak bermaksud negara perlu berkompromi dengan sebarang bentuk rasuah atau penyalahgunaan kuasa.
Menurut beliau, kes-kes rasuah yang masih dalam proses perundangan, termasuk yang berkaitan dengan bekas Perdana Menteri itu, perlu diteruskan berdasarkan saluran dan ketetapan undang-undang.
Katanya, keputusan berkaitan pengampunan pula merupakan bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan.

Foto: Umno Online
“Tapi akhirnya, Perlembagaan menetapkan kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong dan saya harap kita terima baik.
“Selain daripada itu, saya nak tegaskan, prinsip negara hukum, keputusan kita mengambil tindakan kepada semua kes rasuah tidak tergugat, ini tidak bermakna negara harus tunduk kepada amalan penyakau dan rasuah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Nur Perdana, Presint 10, di sini, hari ini.
Artikel lain: Zahid luah syukur! UMNO buka tabung bantu ringankan beban Najib bayar denda RM50 juta
Pendirian itu turut selari dengan kenyataan Anwar sebelum ini bahawa peranan Perdana Menteri dalam Lembaga Pengampunan tertakluk kepada undang-undang, nasihat Peguam Negara dan peraturan yang ditetapkan, manakala keputusan pengampunan berada dalam bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong.
Sumber: Berita Harian (Muhd Iskandar Ibrahim)





