Projek Pan Borneo Sabah bukan hanya siap 11.4%, kemajuan fizikal Fasa 1A sudah capai 89.54% - Timbalan Ketua Menteri I

22 Oct 2026 • 4:29 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Projek Pan Borneo Sabah bukan hanya siap 11.4%, kemajuan fizikal Fasa 1A sudah capai 89.54% - Timbalan Ketua Menteri I Image from: Projek Pan Borneo Sabah bukan hanya siap 11.4%, kemajuan fizikal Fasa 1A sudah capai 89.54% - Timbalan Ketua Menteri I sarah22/10/2026 - 16:29 Foto Facebook Pan Borneo Sabah Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 22 Okt - Kerajaan Sabah menjelaskan bahawa angka kemajuan 11.4% bagi projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah yang dibangkitkan dalam laporan audit tidak menggambarkan kemajuan sebenar kerja pembinaan di tapak, dengan kemajuan fizikal Fasa 1A sudah mencapai 89.54% setakat 30 September 2026.

 

Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti Sabah, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam berkata, angka 11.4% itu hanya merujuk kepada empat pakej kerja yang telah siap sepenuhnya daripada keseluruhan 35 pakej projek ketika audit dijalankan, bukannya peratus kemajuan fizikal keseluruhan pembinaan.

 

"Angka 11.4% itu tidak mewakili kemajuan fizikal sebenar kerja di tapak kerana ia hanya mengukur pakej kerja yang telah siap dan tidak mengambil kira kemajuan pakej yang masih dalam pelaksanaan," katanya dalam kenyataan.

 

Beliau berkata, Fasa 1A yang merangkumi 15 pakej kerja mencatatkan kemajuan fizikal 89.54% berbanding sasaran 96.23%, dengan empat pakej telah disiapkan manakala baki 11 pakej masih dalam pembinaan.

 

Empat pakej yang siap ialah WP27 Kampung Lot M–Batu 32 Sandakan, WP05 Papar–Donggongon, WP21 Pintasan Lahad Datu dan WP15 Tawau–Semporna, sementara pakej WP09 merekodkan kemajuan 40.83%, mengatasi sasaran 38.87%.

 

Bagi Fasa 1B pula, kemajuan fizikal mencapai 25.55%, lebih tinggi daripada sasaran 24.77%, sekali gus menunjukkan prestasi pelaksanaan berbeza mengikut fasa dan pakej kerja.

 

map

 

Joachim berkata, keseluruhan Fasa 1 Lebuhraya Pan Borneo Sabah melibatkan 35 pakej kerja sepanjang 706 kilometer dengan kos projek RM24.859 bilion, yang dibiayai Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kerja Raya sebagai pemilik projek dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah sebagai agensi pelaksana.

 

Setakat 30 September 2026, sebanyak RM11.792 bilion atau 47.37% daripada keseluruhan peruntukan telah dibelanjakan bagi bayaran kepada kontraktor dan perunding, pampasan pengambilan tanah serta kerja pemindahan utiliti.

 

Beliau menjelaskan bahawa antara punca kelewatan ialah perubahan kaedah pelaksanaan daripada model Rakan Pelaksana Projek (PDP) kepada kaedah konvensional selepas model PDP ditamatkan pada September 2019, selain gangguan tenaga kerja dan rantaian bekalan ketika pandemik COVID-19, isu pengambilan tanah serta pemindahan utiliti.

 

"Peralihan seperti ini merupakan kali pertama dilaksanakan bagi projek mega berskala sedemikian, justeru memerlukan penyelarasan rapi dan masa tambahan," katanya sambil memaklumkan bahawa kawasan kerja Fasa 1A yang bebas halangan telah mencapai 99.85% setakat 25 September 2026.

 

Joachim mengakui projek itu mengalami kelewatan, namun menegaskan kerajaan negeri sedang mempergiat penyelesaian isu tapak, pemantauan prestasi kontraktor dan pelaksanaan pelan pemulihan bagi mempercepatkan penyiapan baki pakej pembinaan.

 

Beliau berkata, Kementerian Kerja Raya dan Utiliti Sabah serta JKR Sabah menerima dapatan Ketua Audit Negara sebagai peluang memperkukuh tadbir urus, pemantauan projek dan pengurusan kontrak, selain bersedia memberikan kerjasama penuh kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) sekiranya siasatan terhadap Fasa 1 projek itu diteruskan.- DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved