Kerajaan dalam proses saman MyEG, Zetrix AI isu tunggakan hasil - Anthony

LocalPolitics
27 Oct 2026 • 6:14 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Kerajaan dalam proses saman MyEG, Zetrix AI isu tunggakan hasil - Anthony
Anthony ketika menggulung perbahasan sempena Mesyuarat Ketiga, Penggal Kelima, Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen hari ini. Foto: Bernama

KUALA LUMPUR - Kerajaan kini dalam proses mengambil tindakan undang-undang, termasuk tuntutan saman sivil terhadap MyEG Sdn Bhd dan Zetrix AI Berhad berikutan kegagalan melunaskan keseluruhan tunggakan hasil kerajaan berserta penalti dalam tempoh yang ditetapkan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, kerajaan memandang serius kegagalan pemindahan hasil berkenaan kerana wang kutipan kerajaan tidak dibenarkan dijadikan sebahagian daripada dana operasi syarikat manakala sebarang kelewatan menyerahkan wang itu adalah pelanggaran serius terhadap syarat perjanjian.

Beliau berkata, bagi mengelakkan kejadian seumpama itu berulang, Kementerian Pengangkutan dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sedang meneliti beberapa langkah penambahbaikan, termasuk mengurangkan kebergantungan kepada ejen pihak ketiga melalui penggunaan saluran digital JPJ.

Antara langkah yang dicadangkan ialah mekanisme baharu menggunakan Akaun Terimaan Kecil Perbendaharaan, yang membolehkan hasil kerajaan disalurkan terus ke akaun kerajaan tanpa melalui akaun pihak ketiga.

"Cadangan ini sedang dibincangkan antara Kementerian Pengangkutan, Kementerian Kewangan dan Jabatan Akauntan Negara Malaysia,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2027 (Belanjawan 2027) Peringkat Dasar bagi Kementerian Pengangkutan (MOT) di Dewan Rakyat hari ini.

Selain itu, Anthony berkata, modul Akaun Belum Terima dalam Sistem Pengurusan Hasil Kerajaan juga akan diperketatkan bagi membolehkan transaksi dihentikan secara automatik sekiranya ejen pemungut gagal memindahkan hasil dalam tempoh satu hari bekerja selepas transaksi (T+1).

"Kerajaan turut mencadangkan supaya jaminan bank daripada syarikat induk diwajibkan bagi mana-mana syarikat yang dilantik sebagai ejen pemungut, sebagai langkah melindungi hasil kerajaan daripada risiko ketirisan,” katanya.

Kerajaan sebelum ini menggantung perkhidmatan MYEG dan Zetrix AI Berhad sebagai ejen pemungut JPJ selepas kedua-dua syarikat itu gagal menyerahkan hasil kutipan berjumlah RM314 juta kepada kerajaan bagi tempoh 19 Mei hingga 30 Sept.

Susulan itu, MOT menetapkan penyelesaian penuh keseluruhan tunggakan penalti pindahan lewat sebagai syarat asas mutlak sebelum sebarang kelulusan pelanjutan atau pertimbangan operasi seterusnya diberikan.

Anthony ketika mengulas mengenai perkhidmatan Transit Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) berkata, struktur tambang ditetapkan berasaskan mekanisme tambang dinamik yang mengambil kira waktu perjalanan, tempoh pembelian tiket serta pilihan kelas tempat duduk bagi menawarkan tambang yang kompetitif dan berpatutan.

Tambahnya, penetapan tambang turut mengambil kira perbandingan dengan mod pengangkutan lain, diskaun konsesi dan promosi berkala bagi memastikan keseimbangan antara kemampuan pengguna dan kemampanan operasi ECRL.

"Justeru, sebarang pakej tambang atau pas perjalanan sedang dalam pertimbangan dan akan diperkenalkan oleh operator pengendali, iaitu ECRL Operations Sdn Bhd dari semasa ke semasa,” katanya merujuk kepada cadangan agar pakej tambang keluarga dan pas perjalanan berkala diperkenalkan bagi pengguna yang kerap berulang alik antara Pantai Timur dan Lembah Klang.

Berhubung industri maritim, Anthony memaklumkan kementerian itu sedang giat membangunkan sebuah pelan induk maritim nasional yang komprehensif melalui pelantikan syarikat perunding khusus bagi memperkukuh dan memperkasakan sektor perkapalan domestik negara secara menyeluruh.

"Syarikat perunding dijangka memuktamadkan kajian dan membangunkan pelan strategik untuk tujuan pelaksanaan pada suku kedua 2027,” ujarnya.

Menurutnya, inisiatif itu turut meneliti pelbagai komponen penting, termasuk pelaksanaan dasar kabotaj yang bersesuaian bagi menyokong pertumbuhan industri perkapalan serta rantaian aktiviti logistik antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak. - Bernama

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved