Kerajaan akan saman MyEG, Zetrix AI – Anthony Loke

LocalPolitics
27 Oct 2026 • 6:08 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Kerajaan akan saman MyEG, Zetrix AI – Anthony Loke

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mengambil tindakan undang-undang termasuk saman sivil terhadap MyEG Sdn. Bhd. dan Zetrix AI Berhad.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, tindakan tersebut susulan kegagalan kedua-dua syarikat itu melangsaikan tunggakan kutipan hasil kerajaan berserta penalti dalam tempoh ditetapkan.

Katanya, wang kutipan hasil kerajaan tidak boleh digunakan sebagai sebahagian daripada dana operasi syarikat, manakala kelewatan menyerahkan kutipan berkenaan merupakan pelanggaran serius terhadap terma perjanjian.

“Kerajaan kini dalam proses mengambil tindakan undang-undang termasuk tuntutan saman sivil terhadap pihak syarikat (berkenaan),” katanya ketika menggulung Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2027 peringkat dasar, di Dewan Rakyat, hari ini.

Sebelum ini, Zetrix memaklumkan Bursa Malaysia Securities bahawa operasinya tidak terjejas oleh siasatan bersama polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang sedang dijalankan.

Siasatan itu berkaitan dakwaan kegagalan MyEG dan Zetrix memindahkan kutipan hasil kerajaan berjumlah RM230.9 juta, selain pendedahan tunggakan bayaran sebanyak RM314 juta kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Anthony turut berkata, pihaknya dan JPJ sedang menambah baik sistem digital, termasuk portal MySIKAP dan aplikasi MyJPJ, bagi mengurangkan kebergantungan kepada ejen pihak ketiga.

“Modul akaun belum terima dalam sistem pengurusan hasil kerajaan diperketatkan bagi menghentikan transaksi secara automatik sekiranya ejen pemungut sedia ada gagal memindahkan hasil dalam tempoh 10 hari.

“Cadangan meletakkan syarat wajib jaminan daripada syarikat induk dikemukakan oleh mana-mana ejen pemungut bagi melindungi risiko ketirisan hasil kerajaan,” katanya.

Jelasnya lagi, cadangan mekanisme baharu menggunakan akaun terimaan kecil Perbendaharaan juga sedang dibincangkan antara Kementerian Pengangkutan, Kementerian Kewangan dan Jabatan Akauntan Negara.

Mekanisme itu bertujuan memastikan kutipan hasil disalurkan terus ke akaun kerajaan tanpa melalui akaun pihak ketiga.

Mengulas lanjut, katanya, orang ramai masih boleh mendapatkan perkhidmatan JPJ melalui kaunter, portal MySIKAP, aplikasi MyJPJ serta saluran ejen lain yang dilantik. – UTUSAN

The post Kerajaan akan saman MyEG, Zetrix AI – Anthony Loke appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved