Kerajaan dengar suara rakyat! BUDI Diesel ditambah baik, mudahkan peralihan subsidi bersasar

LocalPolitics
26 Jun 2026 • 11:05 PM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Kerajaan MADANI mengumumkan tiga penambahbaikan terhadap pelaksanaan sistem subsidi bersasar BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel) bagi memudahkan peralihan menjelang pelaksanaan akses awal program itu yang bermula esok di Semenanjung Malaysia.

Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan memaklumkan, penambahbaikan itu dipersetujui selepas beberapa sesi libat urus diadakan bersama rakyat, peniaga kecil, pemegang taruh dan agensi pelaksana susulan pengumuman pelaksanaan BUDI Diesel pada 22 Jun lalu.

Antara perubahan utama yang diumumkan ialah pelaksanaan Program Insentif Pengecualian Sementara Fi Tukar Hak Milik (THM) Kenderaan Diesel selama tiga bulan bermula 1 Julai, pemindahan kelayakan subsidi kepada pengguna sebenar kenderaan serta peluasan BUDI Diesel kepada pikap dan jip persendirian milik syarikat.

“Peralihan kepada BUDI Diesel adalah untuk memastikan subsidi diesel sampai kepada rakyat Malaysia yang layak, di samping menutup ruang ketirisan yang telah merugikan negara berbilion ringgit setiap tahun.
“Setelah mendengar maklum balas dan rayuan rakyat, Kerajaan MADANI bersetuju melaksanakan penambahbaikan ini bagi melancarkan pelaksanaan BUDI Diesel,” kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Image from: Kerajaan dengar suara rakyat! BUDI Diesel ditambah baik, mudahkan peralihan subsidi bersasar

Menurut MOF, pengecualian sementara fi THM yang boleh mencecah sehingga RM100 bertujuan membolehkan pemilik dan pengguna sebenar kenderaan diesel mengemas kini maklumat pemilikan, memandangkan data pemilikan kenderaan dan cukai jalan aktif menjadi antara syarat kelayakan BUDI Diesel.

Bagi memudahkan urusan orang ramai, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan membuka kaunter perkhidmatan pada hujung minggu bermula 4 hingga 26 Julai, dari jam 8 pagi hingga 5 petang di semua pejabat JPJ negeri dan pejabat JPJ UTC negeri bagi urusan berkaitan permohonan BUDI Diesel.

Dalam pada itu, kerajaan turut membenarkan pemilik berdaftar kenderaan diesel memindahkan kelayakan subsidi kepada ahli keluarga terdekat yang merupakan pengguna sebenar kenderaan, tertakluk kepada syarat serta pengesahan yang akan diumumkan melalui saluran rasmi BUDI MADANI.

Jemaah Menteri turut bersetuju memperluaskan BUDI Diesel kepada kenderaan persendirian milik syarikat bagi jenis pikap dan jip selepas mengambil kira maklum balas peniaga kecil dan pengguna yang menggunakan kenderaan diesel untuk urusan kerja harian.

Akses awal BUDI Diesel akan bermula esok di Semenanjung Malaysia dengan diesel bersubsidi dijual pada harga RM2.15 seliter menggunakan pengesahan MyKad di stesen minyak yang mengambil bahagian.

Image from: Kerajaan dengar suara rakyat! BUDI Diesel ditambah baik, mudahkan peralihan subsidi bersasar

Artikel lain: Amir Hamzah dedah 95% rakyat Malaysia guna diesel kurang 300 liter sebulan

Pelaksanaan penuh pula bermula 1 Julai di seluruh negara, dengan harga diesel bersubsidi RM2.10 seliter kepada rakyat Malaysia yang layak.

Penerima sedia ada BUDI Diesel Individu yang telah menerima bantuan tunai RM400 pada awal bulan ini turut boleh membeli diesel pada harga bersubsidi melalui pengesahan MyKad sepanjang tempoh akses awal.

Selain itu, lebih ramai pemilik kenderaan diesel persendirian di Semenanjung Malaysia yang sebelum ini tidak menerima bantuan tunai BUDI Diesel Individu akan mendapat akses kepada diesel bersubsidi menerusi mekanisme baharu berkenaan.

Image from: Kerajaan dengar suara rakyat! BUDI Diesel ditambah baik, mudahkan peralihan subsidi bersasar

Pemilik kenderaan diesel persendirian boleh menyemak status kelayakan serta had kelayakan bulanan menerusi portal rasmi BUDI MADANI.

Pemilik pikap dan jip diesel yang layak juga boleh membuat permohonan tambahan kuota sebanyak 100 liter sebulan melalui portal sama.

“Kerajaan akan terus memantau pelaksanaan akses awal BUDI Diesel serta meneliti maklum balas rakyat bagi memastikan peralihan kepada mekanisme subsidi diesel bersasar berjalan lancar dan manfaat subsidi sampai kepada rakyat Malaysia yang layak,” menurut MOF.

Sumber: FB Kementerian Kewangan

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved