Kerajaan jamin kebajikan warga Felda terus dijaga - PM

LocalPolitics
5 Apr 2026 • 6:03 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Anwar (dua dari kiri) menghadiri Program Perdana Menteri Bersama Warga Peneroka Felda di Felda Semenchu pada Ahad.
image is not available
Anwar (tiga dari kiri) melawat reruai pameran Program Perdana Menteri Bersama Warga Peneroka Felda.

KOTA TINGGI – Kerajaan terus komited membela kebajikan rakyat termasuk warga Felda di sebalik tekanan ekonomi global susulan konflik melibatkan Israel, Amerika Syarikat dan Iran.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan akan memastikan kepentingan rakyat terus dipelihara walaupun berdepan kenaikan kos akibat perkembangan ekonomi dunia.

Beliau berkata, peningkatan harga input pertanian seperti baja import, urea dan kalium merupakan fenomena global dan bukan berpunca daripada dasar kerajaan.

Katanya, bagaimanapun kerajaan tetap mengambil langkah untuk mengurangkan beban yang ditanggung peneroka, petani dan nelayan.

“Kita tidak boleh kawal perang atau harga dunia, tetapi kita boleh ambil langkah untuk kurangkan beban rakyat. Walaupun kos meningkat, kita tetap pertahankan supaya rakyat tidak terbeban seperti di negara lain yang berdepan harga bahan api jauh lebih tinggi.

“Selama beberapa tahun ini kita telah selamatkan lebih RM15 bilion wang rakyat yang hilang melalui ketirisan. Rakyat termasuk di kampung perlu tahu, wang itu sebelum ini hilang di tangan pihak tertentu dan perkara ini perlu dihentikan. Sebab itu kita perlu menggunakan kuasa politik, sosial dan pentadbiran untuk menyelesaikan isu ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Perdana Menteri Bersama Warga Peneroka Felda di Felda Semenchu di sini pada Ahad.

**media[3482571]**

Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said; Exco Pertanian, Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar negeri, Datuk Zahari Sarip serta Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Dalam perkembangan berkaitan, Perdana Menteri memberi komitmen untuk memudahkan pelaksanaan projek melibatkan Felda, termasuk isu perumahan generasi kedua peneroka.

Beliau berkata, perkara tersebut akan dibincangkan bersama pengurusan Felda bagi memastikan bantuan yang munasabah dapat disalurkan tanpa menjejaskan kedudukan ekonomi negara.

Pada masa sama, Anwar turut mengumumkan peruntukan berjumlah RM500,000 kepada Felda Semenchu bagi menaik taraf pelbagai kemudahan asas di kawasan berkenaan termasuk sekolah, masjid serta surau.

“Walaupun tiada permohonan khusus dibuat, saya melihat ada keperluan di kawasan ini dan kerajaan akan memastikan bantuan disalurkan demi kesejahteraan rakyat,” katanya.