Permodalan Kelantan terbit sukuk sosial RM35 juta yang pertama oleh agensi kerajaan negeri

LocalBusiness & Finance
13 Oct 2026 • 4:35 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Permodalan Kelantan terbit sukuk sosial RM35 juta yang pertama oleh agensi kerajaan negeri Image from: Permodalan Kelantan terbit sukuk sosial RM35 juta yang pertama oleh agensi kerajaan negeri sarah13/10/2026 - 16:35 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 13 Okt - Permodalan Kelantan Bhd (PKB) menerbitkan Sukuk Sosial bernilai RM35 juta, menjadikannya agensi kerajaan negeri pertama di Malaysia menerbitkan instrumen pembiayaan itu.

 

Penerbitan sulung tersebut dibuat di bawah Program Sukuk Wakalah bernilai RM300 juta dan turut menjadi sukuk sosial pertama di Kelantan.

 

PKB, anak syarikat milik penuh Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) berkata, dana itu akan digunakan untuk mengembangkan perniagaan pajak gadai Islam Ar-Rahn, termasuk memperkukuh operasi, meningkatkan kapasiti pembiayaan dan membuka cawangan baharu.

 

Pengerusi PKB, Datuk Ahmad Yaakob berkata, penerbitan itu bukan sahaja menyediakan sumber pembiayaan kepada syarikat, malah membantu memperluas akses kepada perkhidmatan kewangan Islam.

 

“Pengembangan Ar-Rahn dijangka memberi manfaat kepada usahawan mikro dan golongan yang memerlukan, terutama di kawasan luar bandar serta komuniti yang mempunyai akses terhad kepada perkhidmatan kewangan,” katanya.

 

Bagi menyokong penerbitan itu, PKB mewujudkan Rangka Kerja Kewangan Sosial yang dinilai secara bebas oleh MARC Solutions Sdn Bhd dan menerima penilaian impak 'Emas'.

 

Rangka kerja itu selaras dengan Rangka Kerja Sukuk Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab (SRI) Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, ASEAN Social Bond Standards serta Social Bond Principles oleh International Capital Market Association.

 

Maybank Investment Bank Bhd bertindak sebagai penasihat utama, pengatur, pengurus dan penasihat penstrukturan kelestarian, manakala Maybank Islamic Bhd bertindak sebagai penasihat Syariah dan pelanggan tunggal.

 

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Investment Bank, Tengku Ariff Azhar Tengku Mohamed berkata, penerbitan itu menunjukkan peranan pasaran modal dalam membiayai inisiatif berimpak sosial, khususnya berkaitan keterangkuman kewangan, keusahawanan dan peluang ekonomi kepada komuniti yang kurang mendapat perkhidmatan.

 

Ar-Rahn yang ditubuhkan pada 12 Mac 1992 kini mempunyai 35 cawangan di sembilan negeri dan merupakan institusi pajak gadai Islam komersial pertama di Malaysia, menurut PKB.- DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved