sarah23/11/2026 - 11:55 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 23 Nov - Kerajaan akan memberi perhatian kepada baki pendapatan isi rumah selepas membayar komitmen bulanan sebagai antara ukuran untuk menilai sama ada pertumbuhan ekonomi negara benar-benar meningkatkan taraf hidup rakyat.
Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong berkata, penilaian itu bukan sekadar melihat peningkatan gaji, tetapi turut mengambil kira pendapatan boleh guna, perbelanjaan keperluan asas dan kemampuan rakyat menabung.
Beliau berkata, penilaian berkenaan akan dibuat mengikut kumpulan pendapatan dan lokasi, selain dilengkapkan dengan Indeks Kesejahteraan Rakyat Malaysia bagi mendapatkan gambaran lebih menyeluruh mengenai keadaan kewangan isi rumah.
Menurutnya, walaupun ekonomi Malaysia terus berkembang, manfaat pertumbuhan itu tidak semestinya dinikmati secara sama rata, khususnya oleh golongan berpendapatan rendah, pekerja yang mempunyai tanggungan tinggi dan peniaga kecil yang berdepan peningkatan kos operasi.
"Isi rumah berpendapatan rendah, pekerja dengan tanggungan tinggi dan peniaga kecil yang berhadapan tekanan kos operasi masih boleh mengalami kekangan kewangan walaupun ekonomi negara terus berkembang," katanya di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab soalan Mohd Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) mengenai sejauh mana pencapaian ekonomi negara pada peringkat makro dapat diterjemahkan kepada peningkatan kesejahteraan rakyat dalam kehidupan seharian.
Pendapatan isi rumah meningkat kepada RM7,017
Chin Tong berkata, pendapatan penengah bulanan isi rumah meningkat kepada RM7,017 pada 2024 berbanding RM6,338 pada 2022, manakala purata gaji pekerja mahir meningkat daripada RM5,242 kepada RM5,799.
Purata gaji pekerja separuh mahir turut meningkat daripada RM2,475 kepada RM2,714, sementara pekerja berkemahiran rendah mencatatkan kenaikan daripada RM1,982 kepada RM2,184. Jumlah pekerja pula meningkat daripada 15.8 juta pada 2023 kepada 16.6 juta pada 2025, dengan kadar pengangguran menurun daripada 3.4% kepada 3.0%.
Lima langkah kurangkan tekanan kewangan rakyat
Beliau berkata, kerajaan memberi tumpuan kepada lima bidang utama bagi memastikan pertumbuhan ekonomi dapat dirasai rakyat, termasuk meningkatkan pendapatan sebenar melalui kenaikan gaji minimum daripada RM1,700 kepada RM2,000, Dasar Gaji Progresif, peningkatan kemahiran serta pewujudan pekerjaan bernilai tambah tinggi.
Selain itu, kerajaan akan terus melindungi kuasa beli melalui Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan BUDI MADANI, memperkukuh pembiayaan serta produktiviti perniagaan kecil, meningkatkan penguatkuasaan harga dan memastikan bekalan keperluan asas mencukupi. Chin Tong menegaskan bahawa matlamat kerajaan adalah memastikan pertumbuhan ekonomi diterjemahkan kepada pendapatan sebenar yang lebih tinggi, kemampuan menampung keperluan harian dan kedudukan kewangan isi rumah yang lebih kukuh. - DagangNews.com






