Kerajaan Tolak Tayangan Drama ‘Madu Atau Racun’, JAKIM Akan Semak & Ambil Tindakan Susulan – Menteri Agama

LocalEntertainment
2 Sep 2026 • 1:34 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

Kerajaan Tolak Tayangan Drama ‘Madu Atau Racun’, JAKIM Akan Semak & Ambil Tindakan Susulan – Menteri Agama

Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menolak tayangan drama ‘Madu atau Racun’ yang mencetuskan kontroversi di media sosial selain didakwa menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat.

‘Pemaparan Gaya Hidup Songsang Bertentangan Dengan Islam’ – Dr Zulkifli

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata pihaknya kesal dengan tindakan pihak produksi yang menerapkan elemen menyentuh sensitiviti agama dan norma budaya tempatan, sama ada ia dilakukan secara tersurat mahupun tersirat.

“Penerapan unsur-unsur yang bertentangan dengan ajaran Islam serta budaya ketimuran ini perlu dibendung, agar pegangan akidah dan nilai moral masyarakat, khususnya generasi muda, sentiasa terpelihara,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini (2 September).

Dr Zulkifli berkata, prinsip ajaran Islam sentiasa meletakkan keutamaan kepada pemeliharaan kesucian institusi kekeluargaan dan tata susila kehidupan beragama, manakala pemaparan gaya hidup songsang adalah bertentangan sama sekali dengan nilai murni terbabit.

JAKIM Akan Semak Kandungan Dalam Drama & Ambil Tindakan Susulan

Sehubungan itu, Zulkifli menegaskan bahawa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan bekerjasama rapat dengan agensi berkaitan bagi menyemak kandungan dan mengambil tindakan susulan berpandukan Garis Panduan Penapisan Kandungan Bahan-Bahan Penyiaran Berunsur Islam (JAKIM Bil. 4/2015) serta peruntukan undang-undang sedia ada.

Langkah itu dikatakan penting bagi memastikan sebarang kandungan media disiarkan secara sahih dan memelihara kesucian agama.

‘Industri Seni & Platform Media Patut Semai Nilai Kebaikan Bukan Jejuskan Keharmonian’ – Dr Zulkifli

Dalam pada itu, JPM (Hal Ehwal Agama) menyeru semua penggiat seni, penerbit, dan stesen penyiaran agar sentiasa peka serta bertanggungjawab dengan menjadikan garis panduan rasmi yang ditetapkan sebagai rujukan utama dalam menghasilkan karya yang mendidik jiwa dan membina sahsiah bangsa.

“Industri seni dan platform media sepatutnya dimanfaatkan sebagai medium menyemaikan nilai-nilai kebaikan, bukannya mencetuskan polemik yang menjejas keharmonian norma masyarakat.

“Kepada seluruh umat Islam, marilah kita bersama-sama mempertahankan kesucian agama dan akhlak dengan penuh ketaatan serta kebijaksanaan,” jelasnya.

‘Tidak Ada ‘Daring’ Mana Pun, Tetap Ada Batas’ – Pengarah Madu Atau Racun

Sebelum ini, Pengarah drama ‘Madu Atau Racun’, Eyra Rahman menegaskan bahawa naskhah 12 episod itu tidak menampilkan babak keterlaluan atau ‘daring’ sebaliknya masih tertakluk kepada garis panduan yang ditetapkan.

Menurut Eyra, meskipun drama tersebut ditayangkan menerusi platform penstriman (OTT), setiap pengarah tetap perlu mematuhi batas ditetapkan. Ini termasuk pemantauan daripada Lembaga Penapis Filem (LPF).

“Sebenarnya, tidak ada ‘daring’ mana pun. Kita tahu banyak babak yang tidak akan lepas. Walaupun ditayangkan di OTT, LPF tetap ada batas-batasnya.

“Apa yang penonton lihat itu hanyalah teknik penggambaran atau ‘cheat shot’ untuk menampakkan babak tersebut seolah-olah realistik.

“Saya sendiri secara peribadi tidak selesa menghasilkan babak yang terlalu berani. Saya sudah maklumkan kepada penerbit dan pihak iQIYI bahawa imej yang saya bawa tidak bersesuaian dengan elemen sebegitu,” katanya dipetik Utusan Malaysia.

‘Apa Dah Jadi Dengan Industri Seni Malaysia?’ – Netizen

Terdahulu, plot cerita dan babak dipercayai berunsur LGBT dari drama ‘Madu Atau Racun’ mendapat kecaman ramai di platform media sosial.

“Apa sudah jadi dengan industri seni Malaysia? Benar Malaysia bukan negara Islam, tapi tidak selayaknya dan tidak sepatutnya filem sedemikian diluluskan dan ditayangkan.

“Cukup, bukan begini caranya untuk menyampaikan ‘mesej’ kepada masyarakat. Ini lebih kepada merosakkan masyarakat, khususnya mereka yang kurang ilmu akan Islam itu sendiri. Ada caranya, ada batasnya,” kata seorang pengguna Threads.

View on Threads
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved