
REMBAU – Seorang pemuda terselamat selepas kereta dipandunya terjatuh ke dalam sungai sedalam lebih tiga meter ketika melalui jambatan di Kampung Mayon, di Chengkau, petang tadi.
Bapa mangsa, Samsuri Musa, 52, berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 3.30 petang membabitkan anak sulungnya, Mohammad Daniel Hakimi Samsuri, 22.
Menurutnya, ketika kejadian, anaknya yang memandu kereta jenis Proton Saga BLM dalam perjalanan dari Rembau untuk pulang ke rumah sebelum keluar bekerja.
“Ketika melalui jambatan, kereta terlanggar bonggol menyebabkan hilang kawalan. Selepas itu, kereta berpusing dan menghadap sungai sebelum terus jatuh ke dalam sungai,” katanya ketika ditemui Kosmo! di lokasi, di Kampung Mayon, di sini, hari ini.
Samsuri berkata, anaknya dipercayai sempat beristighfar sebelum berjaya keluar sendiri dari kenderaan berkenaan dan berjalan pulang ke rumah yang terletak kira-kira 100 meter dari lokasi kejadian.
Mangsa kemudian dibawa ke hospital terdekat untuk mendapatkan rawatan, manakala kereta Proton Saga berkenaan masih berada di dalam sungai sehingga pukul 5 petang tadi. – KOSMO! ONLINE
The post Kereta berpusing sebelum terjunam dalam sungai appeared first on Kosmo Online.






