MPNPs terus perketat pemantauan, elak pokok tumbang berulang

LocalEnvironment
13 Sep 2026 • 12:50 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: MPNPs terus perketat pemantauan, elak pokok tumbang berulang

KANGAR – Kejadian pokok tumbang dan menghempap dua kenderaan di Taman Sena, di sini semalam dipercayai berpunca daripada faktor cuaca dan alam sekitar.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Negeri Perlis (MPNPs), Affendi Rajini Kanth berkata, insiden kira-kira pukul 3.30 petang itu mengakibatkan kerosakan pada Perodua Alza dan Perodua Ativa.

“Kejadian dipercayai berlaku susulan keadaan cuaca dan faktor alam sekitar, termasuk keadaan cuaca tidak menentu. Ia menyebabkan pokok mengalami kegagalan struktur sebelum tumbang secara tiba-tiba.

“Kejadian ini boleh dikategorikan sebagai bencana alam. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan, walau bagaimanapun kejadian menyebabkan dua kenderaan mengalami kerosakan,” katanya.

Menurutnya, pihaknya akan terus memperkukuhkan pemantauan, penyelenggaraan dan pengurusan risiko pokok di kawasan seliaan, terutama di tempat awam yang mempunyai kepadatan pokok tinggi, tempat letak kereta, taman permainan, laluan pejalan kaki dan lokasi tumpuan awam.

“Antara tindakan yang akan diambil termasuk memeriksa pokok yang tumbang dan pokok berhampiran, selain menjalankan kerja pemotongan serta cantasan dahan yang berisiko.

“Majlis juga akan melantik pakar yang dilatih secara profesional dalam bidang penanaman, penjagaan, pemantauan kesihatan dan pemeliharaan pokok atau tumbuhan berkayu,” ujarnya.

Katanya, MPNPs sebelum ini sentiasa menjalankan pemeriksaan berkala, mencantas dahan berlebihan, mati atau berisiko serta mengalihkan pokok yang dikenal pasti mati atau berbahaya berdasarkan penilaian teknikal, selain pemantauan tambahan selepas cuaca buruk.

Sementara itu, beliau berkata, pemilik Perodua Alza dan Perodua Ativa boleh membuat tuntutan melalui insurans liabiliti majlis bagi kerosakan akibat pokok tumbang atau bencana alam, tertakluk kepada polisi dan perlindungan kenderaan masing-masing.

“Skop tuntutan meliputi kawasan awam atau rizab di bawah penyelenggaraan dan pengurusan pihak majlis,” tambahnya.

Kosmo! semalam melaporkan dua kanak-kanak terselamat selepas Perodua Alza yang dinaiki mereka dihempap pokok tumbang berhampiran Dataran Sena, di sini petang semalam. – KOSMO! ONLINE

The post MPNPs terus perketat pemantauan, elak pokok tumbang berulang appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved