
BUKIT MERTAJAM : Seorang pejalan kaki maut dipercayai akibat dirempuh oleh sebuah lori berhampiran jejambat Jalan Bukit Tengah di sini, kira-kira pukul 9.40 pagi tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, akibat rempuhan itu, mangsa, Sim Chin Chuan, 49, tersepit pada bahagian bawah lori sebelum berjaya dikeluarkan oleh Pasukan Keluaran Operasi (PKO) yang tiba di lokasi tidak lama kemudian.
Katanya, sebaik sahaja berjaya dikeluarkan, mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM) akibat cedera parah manakala pemandu lori terbabit yang berusia dalam lingkungan 30-an pula terselamat tanpa sebarang kecederaan.
“Operasi ditamatkan kira-kira pukul 10.18 pagi dan mayat mangsa juga telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya di sini, hari ini.
Difahamkan, punca sebenar kejadian bagaimanapun masih dalam siasatan.-UTUSAN
The post Pejalan kaki maut akibat dirempuh lori appeared first on Utusan Malaysia.






