
PETALING JAYA – Industri pelancongan perubatan kini semakin popular dalam kalangan pelancong asing yang mana Malaysia adalah antara negara yang menawarkan khidmat rawatan terbaik dalam membantu pelancong meningkatkan tahap kesihatan masing-masing.
Beberapa hospital swasta dengan jenama yang semakin kukuh kini telah mendapat perhatian pelancong perubatan khususnya dari Indonesia untuk menjadikan Malaysia sebagai rumah kedua mereka untuk kembali sihat.
Perjalanan yang berteraskan kesihatan tidak bermakna seseorang itu perlu melancong kerana sedang mengalami masalah kesihatan dan melalui pemeriksaan kesihatan di luar negara tidak seharusnya menggantikan hubungan penjagaan kesihatan berterusan seseorang dengan doktor yang merawat mereka di negara asal.
Sebaliknya, ia boleh menjadi peluang tambahan untuk memahami keadaan kesihatan diri, dengan pelancong digalakkan menyimpan laporan perubatan dan mendapatkan rawatan susulan daripada penyedia penjagaan kesihatan mereka sekiranya diperlukan.

Bersandarkan faktor tersebut, Taiwan adalah antara negara yang terkenal dalam industri tersebut selain menawarkan pelbagai destinasi pelancongannya yang popular.
Menurut statistik dari Taiwan Tourism Administration pada tahun lalu, seramai 385,787 rakyat Malaysia mengunjungi negara tersebut dengan lebih 264,000 daripadanya melancong terutamanya untuk tujuan rekreasi.
Salah satu tarikan pelancong luar negara ke Taiwan adalah kerana keunikan perkhidmatan yang dibangunkan oleh gabungan usaha sama awam dan swasta melibatkan Taipei Beitou Health Management Hospital dan Hotel Royal Beitou yang menawarkan konsep Taipei Wellness Clinic and Resort.
Inisiatif ini mengintegrasikan pengurusan kesihatan dengan kemudahan penginapan, sajian sihat, mata air panas dan pengalaman meneroka kawasan sekitar Beitou.
Ketua Penguasa Taipei Beitou Health Management Hospital, Dr. Kon-Ping Lin berkata, bergantung pada program yang dipilih dan kesesuaian perubatan individu, hospital ini menawarkan pemeriksaan kesihatan yang merangkumi teknologi seperti pengimejan MRI dan CT, ultrabunyi, endoskopi serta aplikasi pengimejan perubatan berbantukan AI.

Menurut beliau, kesemua pemeriksaan ini disokong oleh pasukan yang terdiri daripada doktor, jururawat, pakar radiologi, pakar diet dan petugas khusus dalam pengurusan kesihatan.
“Matlamat kami bukanlah untuk menggalakkan setiap individu menjalani semua jenis ujian yang tersedia, sebaliknya pemeriksaan kesihatan perlu disesuaikan dengan keperluan individu.
“Apa yang penting ialah memberi peluang kepada seseorang untuk memahami keadaan kesihatan semasa mereka dengan lebih baik serta berbincang dengan profesional perubatan mengenai hasil pemeriksaan dan mengetahui tindakan susulan yang mungkin diperlukan,” katanya dalam kenyataan.
Beitou adalah antara daerah mata air panas yang terkenal di Taipei yang mana pengunjung boleh bersiar-siar di Beitou Park, mengunjungi Beitou Hot Spring Museum dan Thermal Valley atau meneruskan perjalanan ke Yangmingshan National Park untuk menikmati landskap gunung berapi, laluan berjalan kaki dan pemandangan bermusim.
Ping Lin menerangkan, makanan juga kekal sebagai sebahagian daripada pengalaman yang mana selain sajian berteraskan kesihatan yang dibangunkan oleh cef Hotel Royal Beitou bersama pakar diet dimana pengunjung boleh meneroka kepelbagaian kulinari tempatan termasuk hidangan tradisional Taiwan serta tradisi jamuan jiu-jia-cai yang tersendiri.
Lebih menarik, bagi pelancong muslim dari Malaysia, Hotel Royal Beitou turut disenaraikan oleh Taiwan Tourism Administration sebagai menawarkan penginapan dan sajian mesra Muslim, memberikan satu lagi pilihan praktikal untuk keluarga ketika merancang perjalanan
Bagi keluarga yang menginap di Hotel Royal Beitou, aktiviti berkaitan kesihatan dan riadah dirancang untuk saling melengkapi.
Pengunjung boleh menjalani pemeriksaan kesihatan yang bersesuaian serta mendapatkan konsultasi doktor sebelum kembali ke hotel untuk meluangkan masa bersama keluarga, menikmati mata air panas dan meneruskan penerokaan di Taipei.
Bagi rakyat Malaysia yang merancang untuk menjalani pemeriksaan kesihatan di luar negara, beberapa perkara perlu dipertimbangkan, termasuk jenis ujian yang disyorkan, tujuan pemeriksaan, pihak yang akan menilai keputusan serta tempoh untuk mendapatkan hasilnya.
Perancangan juga perlu mengambil kira langkah susulan sekiranya terdapat sebarang kelainan dan kaedah untuk berkongsi laporan perubatan dengan doktor di Malaysia. -KOSMO! ONLINE
The post Kerjasama awam swasta di Beitou tawar pakej menarik kepada pengembara perubatan appeared first on Kosmo Online.





