
PETALING JAYA – Seorang lelaki warga United Kingdom (UK) menjadikan kenderaan jenama tempatan, Proton sebagai koleksi istimewanya sehingga dia kini memiliki 34 buah kereta.
Lelaki dikenali sebagai Jon Coupland itu mengakui jenama Proton memiliki nilai dan keunikan tersendiri meskipun terdapat model kereta yang semakin dilupakan.
Menerusi hantaran di Threads, Jon memperkenalkan dirinya sebagai peminat tegar Proton atau ‘Protonholic’ dan kini masih memburu pelbagai model jenama Malaysia itu.
“Saya Jon dan saya seorang Protonholic. Jika anda baru di sini, saya mengumpul kereta, kebanyakannya Proton. Ketika ini, saya mempunyai 34 buah kereta dalam koleksi yang semakin bertambah, terdiri daripada kenderaan yang sudah dilupakan orang,” katanya.
Hantaran itu menarik perhatian pengguna media sosial Malaysia yang rata-ratanya meluahkan rasa kagum melihat minat lelaki berkenaan terhadap kereta keluaran negara ini.
Seorang pengguna @amruzainalabidin menyifatkan koleksi Proton milik Jon sebagai sesuatu yang istimewa, terutama model GTI yang berada dalam keadaan baik.
“Proton GTI dalam keadaan sempurna tidak akan bertahan seminggu di Malaysia melainkan disimpan dalam kubu. Koleksi yang sangat baik,“ katanya.
Sementara itu, pengguna @ilovedaboba turut memberikan penghargaan kepada Jon kerana memelihara kenderaan ikonik Malaysia.
“Tabik kepada anda! Terima kasih kerana memelihara ikon Malaysia kami,” katanya.
Seorang lagi pengguna @m2o_a_k_a_mrpunisher, turut merakamkan penghargaan kepada Jon kerana menyokong produk keluaran Malaysia.
“Terima kasih kerana menyokong produk Malaysia, tuan,” katanya.
Menariknya, minat Jon terhadap kereta keluaran Malaysia bukan terhad kepada jenama Proton sahaja apabila seorang pengguna, @diecastprince, mencadangkan supaya dia turut mendapatkan model Perodua Kancil dan Myvi untuk menambah koleksinya.
Jon kemudian membalas ringkas bahawa dia pernah memiliki sebuah Perodua Kelisa.
“Saya ada Kelisa,” kata Jon. – KOSMO! ONLINE
The post Warga UK ‘gilakan’ Proton, 34 kereta jadi koleksi appeared first on Kosmo Online.






