
PETALING JAYA: Barisan Nasional (BN) dilihat lebih munasabah untuk bergerak solo dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka sekiranya rundingan dengan Pakatan Harapan (PH) atau Perikatan Nasional (PN) tidak mencapai kesepakatan.
Pensyarah Kanan Sains Politik, Universiti Malaya (UM), Dr. Mohammad Tawfik Yaakub berkata, BN sudah menetapkan pendirian untuk mempertahankan 21 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala baki tujuh kerusi boleh dijadikan ruang rundingan dengan parti yang berpotensi menjadi rakan kerjasama.
Beliau berkata, formula 21-7 menjadi titik kritikal rundingan kerana ia akan menguji sejauh mana PH atau PN bersedia menerima syarat yang ditetapkan BN.
“Bagi PH, tujuh kerusi sebenarnya hanya menambah dua daripada lima kerusi yang dimenanginya pada 2021.
“Bagi PN pula, tujuh kerusi adalah peningkatan lima berbanding dua kerusi yang dimenangi pada 2021, tetapi timbul persoalan adalah sama ada PN bersedia memainkan peranan sebagai ‘junior partner’ kepada BN,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mohammad Tawfik berkata, sekiranya tiada pihak bersetuju dengan formula agihan kerusi berkenaan, BN mempunyai pilihan yang lebih munasabah untuk bergerak solo.
Jelasnya, pengalaman PRN Johor memberi keyakinan besar kepada BN selepas gabungan itu memenangi 48 daripada 56 kerusi DUN yang dipertandingkan, selain memiliki kekuatan akar umbi yang kukuh.
“Semasa PRN Johor pada Julai lalu, BN dan PH masing-masing bertanding di semua 56 kerusi manakala PN bertanding 33 kerusi. Akhirnya, BN menang 48 kerusi, PH lapan dan PN gagal memenangi sebarang kerusi.
“Saya juga menjangka BN Melaka turut mempertimbangkan kenapa perlu menyerahkan banyak kerusi kepada parti lain jika model Johor menunjukkan BN mampu menang besar dengan identiti sendiri.
“BN juga mempunyai kelebihan sebagai kerajaan negeri, penyandang, organisasi akar umbi UMNO yang kuat serta seorang Ketua Menteri yang akan menjadi wajah utama kempen,” katanya.
Disoal sama ada PH-PN berpotensi bergabung bagi menentang BN, beliau berkata, secara matematiknya rundingan antara kedua-dua gabungan itu kelihatan lebih mudah berbanding rundigan dengan BN.
“Ini bermakna, 21 kerusi milik BN boleh dijadikan medan rundingan antara PH dan PN sekiranya matlamat bersama mereka ialah memecahkan dominasi BN.
“Sebagai contoh, PH boleh mempertahankan lima kerusi sedia ada, PN mempertahankan dua kerusinya, manakala 21 kerusi BN dibahagikan berdasarkan kekuatan calon, demografi dan keputusan pilihan raya terdahulu.
“Daripada sudut aritmetik kerusi, formula ini memang lebih fleksibel tetapi masalahnya ialah aritmetik lebih mudah daripada politik,” katanya.
Mohammad Tawfik berkata, kerjasama itu mungkin menjadi lebih realistik hanya jika BN menutup pintu kepada kedua-dua gabungan itu atau menawarkan syarat pembahagian kerusi yang dianggap terlalu berat sebelah.
“Pada ketika itu, boleh muncul pemikiran bahawa ‘musuh kepada musuh saya boleh menjadi rakan taktikal’ tetapi kalau berlaku sekalipun saya lebih menjangkakan ‘electoral understanding’ atau pengelakan pertandingan sesama sendiri bukannya sebuah pakatan politik formal PH-PN,” katanya.
Sementara itu, Penganalisis politik, Prof. Datuk Dr. Sivamurugan Pandian pula berpandangan isu utama bukan siapa boleh berkawan dengan BN, tetapi parti mana yang sanggup melepaskan kerusi untuk menjadi kawan kepada BN.
“Saya melihat formula paling rasional untuk BN ialah ‘solo tetapi pintu BN Plus terbuka’. Maksudnya BN tidak perlu mengumumkan pakatan terlalu awal.
“Pertahankan 21 kerusi, runding tujuh dan lihat siapa benar-benar mampu membawa undi tambahan. İni kerana, kerjasama PH-PN untuk menentang BN secara matematik nampak mudah, tetapi secara politik sangat sukar,” katanya.
The post Lebih munasabah BN gerak solo di Melaka appeared first on Utusan Malaysia.






