Kerjasama loji jana kuasa Kinergy-Matrix Concepts belum beri kesan ketara kepada kewangan 2026

LocalBusiness & Finance
23 Nov 2026 • 2:13 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Kerjasama loji jana kuasa Kinergy-Matrix Concepts belum beri kesan ketara kepada kewangan 2026 Image from: Kerjasama loji jana kuasa Kinergy-Matrix Concepts belum beri kesan ketara kepada kewangan 2026 sarah23/11/2026 - 14:13 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 23 Nov - Kerjasama Kinergy Advancement Berhad (Kinergy) dengan Matrix Concepts Holdings Berhad bagi membangunkan loji jana kuasa khusus untuk pusat data tidak dijangka memberi kesan ketara kepada kedudukan kewangan Kinergy bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026.

 

Menurut makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, perjanjian awal eksklusif yang mengikat itu tidak dijangka memberi kesan ketara terhadap aset bersih, aset bersih sesaham dan tahap hutang kumpulan bagi tahun kewangan semasa.

 

Bagaimanapun, kedua-dua syarikat masih perlu memuktamadkan perjanjian lanjut bagi melaksanakan pembangunan loji jana kuasa berkenaan, manakala nilai projek, kapasiti penjanaan dan jadual pelaksanaan belum diumumkan.

 

Perjanjian yang dimeterai pada 23 November 2026 itu menetapkan Kinergy sebagai pihak eksklusif untuk melaksanakan kerja kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC), selain operasi serta penyelenggaraan loji jana kuasa yang dicadangkan.

 

Matrix Concepts sediakan tapak pembangunan

Matrix Concepts akan bertindak sebagai pemilik tanah dan menyediakan tapak projek, termasuk menyelaras infrastruktur, bekalan kemudahan asas, kelulusan perancangan serta persediaan kawasan pembangunan.

 

Kinergy pula akan bertanggungjawab menjalankan kajian kebolehlaksanaan, mendapatkan kelulusan kawal selia dan lesen berkaitan, selain melaksanakan pembangunan serta operasi loji jana kuasa tersebut.

 

Menurut syarikat itu, pembangunan loji jana kuasa khusus bertujuan menyediakan bekalan elektrik yang lebih terjamin bagi menyokong pusat data dan aktiviti perindustrian yang memerlukan penggunaan tenaga tinggi.

 

Kinergy perluas peranan dalam penjanaan tenaga

Timbalan Pengerusi Eksekutif merangkap Pengarah Urusan Kumpulan Kinergy, Datuk Dr Lai Keng Onn berkata, pembangunan kawasan perindustrian semakin bergantung kepada bekalan elektrik yang mencukupi dan boleh dipercayai bagi menyokong operasi jangka panjang.

 

"Pembinaan loji jana kuasa berhampiran kawasan penggunaan dapat membantu mengurangkan risiko kekangan kapasiti grid dan gangguan bekalan elektrik, selain memberikan kepastian bekalan kepada bakal pengendali pusat data serta kemudahan perindustrian," katanya dalam kenyataan.

 

Kinergy sebelum ini terlibat sebagai rakan teknikal tempatan PETRONAS bagi loji jana kuasa Sipitang berkapasiti 72 megawatt (MW) dan kontraktor utama EPCC bagi loji 120MW di Labuan. Kerjasama dengan Matrix Concepts dijangka memperluas peranan syarikat dalam pembangunan serta pengendalian infrastruktur tenaga jangka panjang, tertakluk kepada perjanjian muktamad.- DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved