
KUALA TERENGGANU: Keputusan untuk membuat pilihan sama ada bersama Pakatan Harapan (PH) atau Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Sarawak meletakkan Barisan Nasional (BN) berada dalam keadaan berisiko serta tekanan.
Naib Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Keadilan negeri, Datuk Azan Ismail berkata, PH termasuk Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak berdepan dalam situasi itu kerana idea memilih parti untuk berkerjasama adalah cetusan daripada BN dan PN.
“PH pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam keadaan tenang tanpa memikirkan pilihan kerjasama yang berisiko.
“BN dan UMNO perlu meneliti pelbagai sudut sebelum memutuskan untuk bekerjasama dengan PH atau PN ,” katanya selepas merasmikan program Briskwalk Semarak Kemerdekaan di Taman Awam Bukit Besar, di sini, hari ini.
Azan yang juga Ketua Cabang PKR Kuala Terengganu berkata, BN dan UMNO akan dilanda dengan risiko dan tekanan yang besar jika tersilap membuat pilihan.
Katanya, PH tidak berdepan dengan situasi berisiko dan tekanan jika BN dan UMNO memilih untuk bekerjasama dengan PN terutama untuk menghadapi PRN Melaka dan Sarawak.
“PH berada dalam keadaan bersedia dan sedang menunggu keputusan BN terutama berkaitan dengan pilihan untuk bekerjasama,” katanya. – UTUSAN
The post Kerjasama politik: BN tertekan, PH tenang – PKR Terengganu appeared first on Utusan Malaysia.






