sarah25/11/2026 - 10:35 Gambar hiasan dari laman web AndaBreeze, Kerjaya Prospek Property. Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 25 Nov - Kerjaya Prospek Property Berhad (KPPROP) berjaya mengurangkan hutang bersih sebanyak RM27 juta dalam tempoh tiga bulan kepada RM301.8 juta pada akhir September 2026, disokong aliran tunai operasi yang lebih kukuh.
BIMB Securities Research dalam nota kajiannya hari ini berkata, pengurangan hutang bersih daripada RM328.8 juta pada akhir Jun 2026 itu turut menurunkan nisbah hutang bersih kepada ekuiti kumpulan daripada 0.59 kali kepada 0.54 kali.
Kumpulan mencatatkan aliran tunai operasi sebanyak RM27.7 juta pada suku kedua tahun kewangan 2027 (2QFY27), manakala kos kewangan bersih berkurangan kepada RM2.1 juta berbanding RM2.8 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya, hasil peningkatan pendapatan kewangan dan pengurangan pinjaman.
Pembangunan hartanah semakin pulih
Menurut BIMB Securities, pemulihan segmen pembangunan hartanah KPPROP semakin rancak dengan pendapatan meningkat 169% tahun ke tahun kepada RM40.2 juta pada 2QFY27, didorong kemajuan kerja pembinaan projek VOX Residence dan Viera 15.
Projek AndaBreeze yang mempunyai nilai pembangunan kasar (GDV) RM780 juta dan dilancarkan pada 26 September 2026 pula mencatatkan kadar sambutan melebihi 30% bagi Menara A, termasuk tempahan, manakala pelancaran projek baharu di Jalan Puchong dan Puchong sedang dalam persediaan.
Segmen peruncitan dan penyewaan turut mencatatkan peningkatan pendapatan sebanyak 16% tahun ke tahun kepada RM5.8 juta, disokong kadar penghunian lebih tinggi di Bloomsvale Shopping Gallery dan Office Tower.
Bagaimanapun, pendapatan segmen perhotelan susut 2% kepada RM23.4 juta berbanding tempoh sama tahun sebelumnya berikutan kadar penghunian bilik yang lebih rendah serta pengurangan majlis bankuet.
Keuntungan meningkat namun di bawah jangkaan
KPPROP mencatatkan keuntungan bersih teras RM6.7 juta pada 2QFY27, meningkat 186.4% tahun ke tahun, manakala pendapatan melonjak 52.6% kepada RM71.6 juta, menjadikan keuntungan bersih teras bagi separuh pertama FY27 meningkat 105.5% kepada RM9.3 juta.
Bagaimanapun, prestasi separuh pertama FY27 masih di bawah jangkaan, mendorong BIMB Securities mengurangkan unjuran keuntungan bersih teras kumpulan bagi FY27 hingga FY29 masing-masing sebanyak 56%, 44% dan 19% kepada RM18.9 juta, RM35.1 juta dan RM57.3 juta susulan pengiktirafan hasil pembangunan hartanah yang lebih perlahan.
BIMB Securities mengekalkan saranan 'beli' terhadap saham KPPROP dengan harga sasaran disemak turun kepada 33 sen daripada 36 sen, sementara menunggu penjelasan lanjut mengenai jualan, sambutan pembeli dan margin keuntungan pada sesi taklimat keputusan kewangan esok. - DagangNews.com






