‘Kertas Kancil’ bawa 12 agenda Bersama

LocalPolitics
12 Aug 2026 • 2:36 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: ‘Kertas Kancil’ bawa 12 agenda Bersama

PUCHONG: Parti Bersama Malaysia (Bersama) akan menerbitkan siri kertas dasar dikenali sebagai ‘Kertas Kancil’ bagi memperincikan 12 agenda utama parti.

Pemimpin Bersama, Datuk Seri Mohd. Rafizi Ramli berkata, ia akan menghuraikan langkah, akta dan program bagi mencapai hasil ditetapkan.
Menurutnya, penerbitan Kertas Kancil dijangka bermula menjelang Hari Kebangsaan pada 31 Ogos ini sebagai usaha menggalakkan perbincangan terbuka mengenai pelbagai isu berkaitan kepentingan rakyat.

“Bersama mahu memastikan setiap agenda parti disokong cadangan dasar yang jelas, bukannya sekadar menawarkan kritikan terhadap kelemahan kerajaan sedia ada.

“Perincian dasar berkenaan akan memberi tumpuan kepada langkah yang boleh dilaksanakan bagi menangani masalah rakyat secara lebih berkesan,” katanya dalam sidang akhbar berhubung peletakan jawatan Wong Chen sebagai Ahli Parlimen Subang di Ibu Pejabat Bersama di sini hari ini.

Tambah Rafizi, antara isu yang diberikan perhatian adalah kos sara hidup, gaji, peluang pekerjaan, integriti dan perumahan yang terus menjadi kebimbangan rakyat.

Katanya, Bersama merancang mengadakan rundingan terbuka dan forum bagi membincangkan cadangan yang dikemukakan dalam setiap Kertas Kancil.

“Pendekatan itu penting supaya masyarakat dapat menilai cadangan parti dan memberikan pandangan sebelum dasar berkenaan dimuktamadkan untuk dilaksanakan.

“Bersama mahu menawarkan alternatif kepada politik yang dianggap terlalu tertumpu kepada kegiatan menuding jari tanpa mengemukakan penyelesaian terhadap masalah rakyat.

“Setiap Kertas Kancil akan memperincikan bentuk program dan dasar yang diperlukan bagi mencapai keberhasilan dalam kesemua 12 agenda Bersama,” katanya.

Beliau berkata, penyertaan Wong Chen akan membantu mempercepatkan penyediaan kertas dasar berdasarkan pengalamannya sebagai ahli Parlimen sejak 2013.

Katanya, Wong Chen bertanggungjawab menyelia penyediaan kertas dasar bersama barisan penggerak yang mempunyai kepakaran dalam pelbagai bidang profesional.

“Langkah itu akan memperkukuh usaha Bersama membina dasar berasaskan kepakaran serta menawarkan penyelesaian yang lebih jelas terhadap cabaran dihadapi masyarakat.

“Kertas Kancil juga akan menjadi sebahagian daripada usaha Bersama membentuk kerangka dasar yang boleh dibincangkan secara terbuka menjelang pilihan raya,” katanya. –UTUSAN

The post ‘Kertas Kancil’ bawa 12 agenda Bersama appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved