Untung NationGate dijangka melonjak pada FY27, UOBKH naikkan TP lebih sekali ganda kepada RM1.88

Business & Finance
26 Aug 2026 • 2:45 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Untung NationGate dijangka melonjak pada FY27, UOBKH naikkan TP lebih sekali ganda kepada RM1.88 Image from: Untung NationGate dijangka melonjak pada FY27, UOBKH naikkan TP lebih sekali ganda kepada RM1.88 hamden26/08/2026 - 14:45 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 26 Ogos - NationGate Holdings Bhd dijangka menyaksikan pemulihan keuntungan yang ketara bermula suku keempat 2026 (4QFY26) sebelum memasuki fasa pertumbuhan lebih pesat pada FY27, didorong program modul optik baharu, permintaan kukuh pusat data kecerdasan buatan (AI) serta peningkatan kadar hasil pengeluaran.

 

UOB Kay Hian (UOBKH) Research berkata, potensi perubahan trajektori pendapatan itu mendorong pihaknya menaik taraf saranan kepada 'Beli', selain menggandakan harga sasaran kepada RM1.88 daripada RM0.82 sebelum ini.

 

Firma penyelidikan itu menjangkakan pertumbuhan NationGate akan memasuki fasa pemulihan berbentuk keluk-S pada FY27, apabila jumlah pengeluaran meningkat, kadar hasil bertambah baik dan syarikat menikmati leveraj operasi yang lebih kukuh.

 

“Pertumbuhan dijangka terus meningkat menjelang 2027, apabila peningkatan pengeluaran, kadar hasil yang lebih baik dan leveraj operasi yang lebih kukuh memacu pemulihan pendapatan berbentuk keluk-S,” kata UOBKH.

 

Walaupun keputusan separuh pertama 2026 (1HFY26) berada di bawah jangkaan, dengan keuntungan bersih terlaras RM29.5 juta hanya mewakili 38% daripada unjuran penuh tahun UOBKH dan 51% daripada anggaran konsensus, firma itu melihat kelemahan tersebut sebagai kesan tempoh pembangunan program modul optik baharu yang lebih panjang daripada dijangkakan.

 

Sehubungan itu, UOBKH mengurangkan unjuran keuntungan bersih FY26 NationGate kepada RM39.2 juta daripada RM78.2 juta sebelum ini.

 

Prospek FY27 Positif

Bagaimanapun, prospek bagi FY27 jauh lebih positif apabila firma itu lebih daripada menggandakan unjuran keuntungan bersih kepada RM178.8 juta, berbanding RM98.1 juta sebelum ini, mencerminkan jangkaan peningkatan ketara apabila program baharu memasuki fasa pengeluaran berskala lebih besar. 

 

Prospek jangka sederhana NationGate turut disokong permintaan yang semakin meningkat terhadap sambungan optik berkelajuan tinggi apabila pembangunan infrastruktur AI berkembang melangkaui unit pemprosesan grafik (GPU) kepada sistem rangkaian.

 

UOBKH berkata, komunikasi antara GPU kini muncul sebagai antara kekangan utama dalam kelompok AI berskala besar, sekali gus mempercepatkan peralihan teknologi daripada sambungan optik 800 gigabit sesaat (800G) kepada 1.6 terabit sesaat (1.6T).

 

Perkembangan itu dijangka menyokong peningkatan perniagaan segmen rangkaian dan telekomunikasi NationGate apabila syarikat hyperscaler mempercepatkan pembangunan pusat data AI dan beralih kepada teknologi sambungan berkelajuan lebih tinggi.

 

Selain itu, firma penyelidikan berkenaan melihat potensi pertumbuhan baharu apabila NationGate bergerak lebih jauh dalam rantaian nilai pembuatan optik.

 

Syarikat itu kini bukan sahaja terlibat dalam pemasangan peringkat papan litar bercetak (PCB) bagi transceiver optik, malah turut memperluaskan keupayaan kepada pembuatan komponen dan subpemasangan yang lebih khusus, termasuk chip-on-carrier (CoC), chip-on-submount (CoS) serta pemasangan TOSA, ROSA dan TROSA.

 

UOBKH berkata, proses bernilai lebih tinggi itu memerlukan tempoh kelayakan yang lebih panjang dan hubungan lebih rapat dengan pelanggan, yang berpotensi mengukuhkan hubungan komersial serta menyokong aliran pendapatan lebih stabil apabila jumlah pengeluaran meningkat.

 

Harga sasaran RM1.88 itu adalah berdasarkan gandaan harga kepada pendapatan (PE) 24 kali bagi unjuran FY27, mencerminkan keyakinan UOBKH bahawa NationGate berpotensi memasuki fasa pertumbuhan baharu apabila perniagaan modul optiknya mencapai skala pengeluaran yang lebih besar. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved