Kes Bunuh Pegawai Kastam: Abang Dedah Adik Dalam Proses Penceraian

16 Oct 2026 • 5:29 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

Kes Bunuh Pegawai Kastam: Abang Dedah Adik Dalam Proses Penceraian

Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Malam tadi (15 Oktober), media melaporkan berita mengenai seorang wanita yang juga Pegawai Kastam maut ditikam dipercayai dibunuh oleh suaminya sendiri.

Kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 7.30 malam semalam (15 Oktober) di kuarters Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Abang Mangsa Dedah Adik Dalam Proses Penceraian, Pernah Nasihat Adik Kekalkan Hubungan Baik

Terbaharu, abang kepada mangsa, Nor Hazwani Ibrahim yang dikenali sebagai Hazwan Ibrahim mendedahkan adiknya itu telah memfailkan permohonan perceraian pada September lalu.

Malah, dia pernah menasihati adik serta suaminya untuk mengekalkan hubungan yang baik meskipun berdepan dengan masalah rumah tangga.

“Saya difahamkan mereka dalam proses perceraian selepas adik saya memfailkan permohonan pada September lalu.

“Kira-kira jam 7.30 malam tadi (semalam), suspek menghubungi saya dan meminta saya menjadi saksi perceraian mereka.

“Bagaimanapun, apabila saya menghubunginya semula kira-kira jam 10 malam, saya terkejut apabila dia memberitahu bahawa adik saya sudah meninggal dunia dan dia akan menyerah diri kepada polis,” katanya yang dipetik dari Harian Metro.

Jelas Hazwan, kali terakhir dia berjumpa dengan Nor Hazwani adalah di rumah adiknya semalam (15 Oktober) sebelum pulang ke Kelantan.

Adik Bakal Hadiri Prosiding Mahkamah Syariah 3 November Ini

Kongsinya lagi, Hazwani yang juga merupakan anak bongsu daripada sembilan beradik itu dijadualkan menghadiri prosiding di Mahkamah Syariah pada 3 November ini.

Tambah Hazwan, anak adiknya yang masing-masing berusia enam dan lima tahun masih belum diberitahu mengenai kematian ibu mereka.

Abang Terkilan Dengan Cara Adik ‘Pergi’

Dalam pada itu, abang sulung Hazwani yang dikenali sebagai Amran Ibrahim menjelaskan dia terkilan dengan cara pemergian adiknya itu.

 “Memang sudah sampai masa dia tetapi cara dia ‘pergi’ itu buatkan kami terkilan lebih-lebih lagi pelakunya adalah suaminya sendiri,” katanya yang dipetik dari Berita Harian.

Perasaan Bercampur Baur, Terkejut Lepas Dapat Makluman Adiknya Dibunuh Suami

Jelas Amran, dia mendapat makluman mengenai adik bongsu mereka didakwa dibunuh suami sendiri selepas mendapat panggilan daripada adik lelakinya kira-kira jam 7.30 malam.

“Ketika itu, saya berada di rumah di Pinggiran Batu Caves, Selangor, sebelum terima panggilan daripada adik kelapan. Dia beritahu, adik ipar kami (suspek) hubungi dia dan maklumkan sudah bunuh isteri sendiri.

“Pada masa itu perasan bercampur baur, ada rasa terkejut, tidak percaya dan marah juga. Saya kemudiannya terus hubungi balai polis kerana dia (suspek) turut beritahu mahu serah diri di balai polis,” katanya.

Abang Sulung Jumpa Hazwani 7 Bulan Lalu, Suami Mangsa Dipercayai Baru Bebas Dari Penjara

Kongsi Amran lagi, adik bongsunya itu lebih rapat dengan adiknya yang kelapan berbanding adik-beradik yang lain.

“Kami ada sembilan adik-beradik dan saya adalah anak sulung. Kali terakhir jumpa dengannya kira-kira tujuh bulan lalu, namun kami ada berhubung melalui WhatsApp.

“Hanya kami tiga beradik yang tinggal di sekitar Lembah Klang, manakala yang lain duduk di Kelantan, termasuk adik kelapan. Semalam, (Rabu) adik kelapan ini datang ke rumah Wani dan tidur semalaman kerana ada urusan di sini.

“Dia juga sempat berpesan supaya jaga rumah tangga elok-elok. Tidak sangka malam ini terjadi kejadian yang memang amat mengejutkan kami semua, tetapi kami kena terima pemergiannya, sudah sampai masa dia (pergi),” ujarnya.

Malah, suspek juga dipercayai baru dibebaskan dari penjara beberapa hari lalu kerana kesalahan dadah.

Perselisihan Faham Dipercayai Punca Wanita Maut Ditikam

Dalam pada itu, kematian Hazwani yang maut didakwa ditikam oleh suaminya dipercayai berpunca akibat perselisihan faham rumah tangga.

Menurut Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad, pihaknya menerima laporan mengenai insiden berkenaan jam 9.30 malam semalam (15 Oktober) selepas seorang lelaki datang menyerah diri di Balai Polis Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang, Selangor dan memaklumkan mengenai kematian isterinya.

Jelas Alzafny, hasil pemeriksaan awal oleh Bahagian D10 Forensik Kontinjen Negeri Sembilan mendapati mangsa mengalami kecederaan disyaki akibat tikaman serta sebilah pisau dan beberapa barang lain turut dirampas untuk membantu siasatan.

“Bertindak atas maklumat itu, sepasukan polis digerakkan ke lokasi kejadian dan menemukan seorang wanita tempatan berusia lingkungan 30-an dalam keadaan tidak sedarkan diri.

“Mangsa ialah pegawai kastam yang telah bertukar ke skim perkhidmatan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) berkuat kuasa 1 Julai,” katanya.

Tambah Alzafny, suami mangsa yang berusia lingkungan 30-an kini direman sehingga 22 Oktober bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Pada masa sama, Alzafny turut meminta orang ramai untuk tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.

Baca Artikel Berkaitan: Baru Setahun Berkahwin, Wanita Di Terengganu Maut Dipukul Suami Dengan Tukul

Baca Artikel Berkaitan: Isteri Ditolak Masuk Gaung Lepas Bertikam Lidah Dengan Suami, Berjaya Merangkak Naik Ke Bahu Jalan

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved