Kes bunuh pelajar, remaja lelaki direman enam hari

4 Oct 2026 • 1:00 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Kes bunuh pelajar, remaja lelaki direman enam hari

BATU PAHAT, 4 OKT: Seorang remaja lelaki berusia 16 tahun direman enam hari, bagi membantu siasatan kes bunuh seorang pelajar perempuan sebaya yang ditemukan tidak sedarkan diri dan berlumuran darah di sebuah sekolah di Yong Peng, semalam.

Ketua Polis Johor Datuk Ab Rahaman Arsad berkata suspek ditahan kira-kira 7 malam di sekitar Yong Peng, kira-kira sejam selepas polis menerima maklumat mengenai kejadian berkenaan.

Beliau berkata polis menerima maklumat daripada orang awam pada kira-kira 5.50 petang, selepas mangsa ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri dan berlumuran darah di sebuah dewan sekolah.

“Mangsa mengalami beberapa kecederaan di bahagian kepala dan badan, sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Proses bedah siasat dijalankan hari ini di Hospital Sultanah Nora Ismail, Batu Pahat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ab Rahaman berkata suspek ditahan sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor bersama dengan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Batu Pahat.

Beliau berkata semakan mendapati remaja berkenaan tidak mempunyai rekod jenayah lampau, manakala sebuah telefon bimbit, sepasang pakaian dan sepasang selipar turut dirampas.

Terdahulu suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Batu Pahat bagi proses reman.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun dan maksimum 40 tahun serta sebatan tidak kurang 12 kali sekiranya tidak dihukum mati, jika sabit kesalahan.

Ab Rahaman berkata motif serta punca kejadian masih dalam siasatan dan orang ramai diminta tidak membuat spekulasi atau komen yang boleh mengganggu proses siasatan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian boleh menghubungi talian Polis Johor menerusi nombor 019-2792095 atau Bilik Gerakan Polis Kontinjen Johor (07-2212999).

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved