
JOHOR BAHRU - Polis merampas sebuah telefon bimbit, satu set pakaian dan sepasang selipar daripada seorang remaja lelaki berusia 16 tahun yang ditahan bagi membantu siasatan kematian seorang pelajar perempuan, Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal.
Ketua Polis Johor, Komisioner Datuk Ab Rahaman Arsad, berkata suspek tempatan yang tidak mempunyai rekod jenayah lampau itu ditahan pada 7 malam semalam di Yong Peng.
Beliau berkata tangkapan dilakukan sepasukan anggota daripada Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor bersama Polis Daerah Batu Pahat.
Tangkapan itu susulan laporan kecemasan yang diterima pada 5.50 petang semalam, berhubung penemuan seorang remaja perempuan dalam keadaan tidak sedarkan diri dan berlumuran darah dalam sebuah dewan sekolah menengah.
Pasukan perubatan yang tiba di lokasi mengesahkan mangsa telah meninggal dunia dan pemeriksaan mendapati, terdapat kecederaan parah serta trauma fizikal pada bahagian kepala dan seluruh badan mangsa.
Suspek kini direman selama enam hari bermula hari ini hingga 9 Oktober bagi membantu siasatan kes bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. - Getaran, 4 Oktober 2026





![Kes Bunuh Irene Sofiya: “Saya Peluk Fiya Sambil Ajar Ucap Kalimah Syahadah” – Nenek [Video]](https://buzzkini.my/wp-content/uploads/2026/10/Pelajar-maut-disyaki-dibunuh.jpg?t=1791089312)
