Kes gaduh bersenjata depan sekolah libatkan Geng 04 - Polis

1 Sep 2026 • 2:20 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Kes gaduh bersenjata depan sekolah libatkan Geng 04 - Polis
Gambar tular orang ramai berkumpul ketika kejadian pergaduhan di hadapan sekolah.

GEORGE TOWN – Pergaduhan bersenjata di hadapan sebuah sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) di Air Itam di sini pada 30 Ogos lalu dipercayai tercetus akibat salah faham berkaitan isu hutang dan melibatkan kumpulan menggunakan nama Geng 04.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Dennis Lim berkata, siasatan mendapati hutang berkenaan tidak mempunyai kaitan dengan kegiatan pinjaman wang tidak berlesen.

Menurutnya, kumpulan terbabit dipercayai cuba membantu pihak tertentu mendapatkan semula hutang sebelum berlaku perselisihan yang akhirnya membawa kepada pergaduhan.

“Kes ini disebabkan salah faham berkaitan hutang. Bukan hutang along, sebaliknya mereka membantu mengutip semula hutang.

“Mereka kemudian berbincang tetapi berlaku pergaduhan,” katanya ketika ditemui di Ibupejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di sini pada Selasa.

Dalam kejadian pada 30 Ogos lalu, polis menahan 13 lelaki tempatan termasuk tiga remaja bagi membantu siasatan berhubung kes pergaduhan menggunakan senjata yang berlaku di hadapan sebuah sekolah di Air Itam di sini.

Semua mereka berusia 16 hingga 33 tahun itu ditahan dalam lima serbuan di sekitar negeri ini.

Serbuan itu melibatkan Bahagian Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang bersama Bahagian Siasatan Jenayah Ibupejabat Polis Daerah Timur Laut dan bantuan Balai Polis Central.

Dalam pada itu, Dennis berkata, dua lelaki yang cedera ditetak dalam kejadian itu pula sebenarnya tidak mempunyai kaitan dengan kumpulan terbabit.

Sebaliknya, beliau berkata, kedua-dua mangsa dipercayai menjadi sasaran selepas disalah anggap sebagai ahli kumpulan berkenaan.

“Mangsa dalam perjalanan pulang selepas menghadiri upacara keagamaan dan dipercayai memakai pakaian berwarna biru yang hampir sama dengan kumpulan terbabit.

“Suspek menyangka mereka adalah daripada kumpulan berkenaan lalu menyerang dan menetak kedua-duanya,” katanya.

Beliau berkata, kedua-dua mangsa mengalami kecederaan parah namun keadaan mereka dilaporkan stabil.

Tambahnya, polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan parah menggunakan senjata serta Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dengan bersenjatakan senjata.

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved