KUANTAN - Seorang pesara sebuah syarikat minyak berputih mata apabila semua wang simpanan termasuk hasil gadaian barang kemas bernilai lebih RM1.4 juta lesap angkara 'phone scam'
Pemangku Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayob berkata, mangsa berusia 66 tahun itu mendakwa dia dihubungi individu tidak dikenali berhubung kes pengubahan wang haram dihadapi 19 Mei lalu.
Menurutnya, mangsa telah diarahkan suspek membuka akaun bank baharu dan memindahkan semua wang simpanan ke akaun tersebut untuk tujuan semakan pihak berkuasa.
"Warga emas itu terpaksa akur dengan arahan suspek kerana bimbang berdepan tindakan undang-undang.
"Selepas membuka akaun dan memindahkan semua wang simpanannya, mangsa telah menyerahkan kad bank bersama nombor pin kepada seorang lelaki tidak dikenali yang ditemui di kawasan perumahannya seperti yang diarahkan.
"Dia hanya menyedari wang berjumlah RM1,417,210 di dalam akaun tersebut telah dipindahkan ke ke enam akaun berbeza selain berlaku transaksi pengeluaran wang itu di mesin juruwang automatik (ATM) tanpa pengetahuannya Selasa lalu," katanya.
Azry berkata, syak menjadi mangsa tipu, mangsa tampil membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.
Katanya, kes itu kini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Justeru itu katanya, orang ramai dinasihatkan supaya mendapatkan nasihat awal daripada balai polis berdekatan sebelum membuat sebarang tindakan bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan.
"Orang awam juga dinasihatkan untuk membuat semakan nombor akaun melalui laman sesawang https://semakmule.rmp.gov.my/ sebelum membuat sebarang transaksi dan menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997," katanya.






