AAIB gesa semakan aturan menyelamat dan memadam kebakaran di STOLport Long Lellang susulan nahas ragut lima nyawa

16 Oct 2026 • 6:38 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

AAIB gesa semakan aturan menyelamat dan memadam kebakaran di STOLport Long Lellang susulan nahas ragut lima nyawa Image from: AAIB gesa semakan aturan menyelamat dan memadam kebakaran di STOLport Long Lellang susulan nahas ragut lima nyawa johardy16/10/2026 - 18:38

KUALA LUMPUR 16 Okt - Biro Siasatan Kemalangan Udara (AAIB) menggesa pengendali Lapangan Terbang Berlepas dan Mendarat Jarak Pendek (STOLport) Long Lellang di Miri, Sarawak, menyemak aturan menyelamat dan memadam kebakaran susulan nahas helikopter yang mengorbankan lima orang, termasuk empat petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), pada 8 September lalu.

 

AAIB mengesyorkan supaya pengendali aerodrom itu, Malaysia Airports Sdn Bhd (MASB), menyemak aturan menyelamat dan memadam kebakaran di semua STOLport kendaliannya bagi memastikan anggota bantuan menerima latihan serta dilengkapi peralatan yang sesuai, selain memastikan peralatan pemadaman kebakaran dan kelengkapan pelindung diri (PPE) disenggara dengan baik serta boleh digunakan.

 

Biro itu berkata, syor tersebut menyusuli penemuan bahawa anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) yang ditugaskan membantu operasi menyelamat dan memadam kebakaran bertindak menangani kebakaran tanpa memakai PPE pemadaman kebakaran yang sesuai.

 

“Sebahagian PPE yang tersedia menunjukkan tanda kemerosotan dan kerosakan yang jelas, yang boleh menjejaskan keselamatan serta keberkesanan tindak balas kecemasan,” menurut AAIB dalam laporan awalnya.

 

AAIB berkata, sebanyak 12 alat pemadam api serbuk kering yang tersedia di terminal STOLport itu digunakan oleh pasukan tindak balas dan penduduk kampung dalam usaha memadamkan api, namun kebakaran gagal dipadamkan dan berterusan selama beberapa jam.

 

Menurut laporan itu, kesemua lima orang di dalam helikopter berkenaan, terdiri daripada seorang juruterbang warga Malaysia berusia 30 tahun dan empat petugas KKM, terkorban. Hasil bedah siasat menentukan punca kematian mereka ialah kecederaan melecur teruk yang dialami dalam nahas tersebut.

 

Helikopter jalankan penerbangan Perkhidmatan Doktor Udara

Menurut laporan itu, helikopter Messerschmitt-Bolkow-Blohm BO105 S dengan pendaftaran 9M-LLF, yang dikendalikan Layang-Layang Aerospace Sdn Bhd menggunakan tanda panggilan MEDIC3, sedang menjalankan penerbangan berjadual Perkhidmatan Doktor Udara (FDS).

 

Helikopter itu direka untuk pelbagai operasi termasuk pengangkutan penumpang, kerja utiliti, pemindahan perubatan dan misi khusus lain, dengan berat maksimum berlepas kira-kira 2,500 kilogram, bergantung pada konfigurasi dan dokumentasi yang berkenaan.

 

Laporan itu menyatakan, rakaman video dari darat sepanjang 37 saat merakam detik-detik akhir penerbangan tersebut, menunjukkan helikopter meninggalkan jejak asap dengan apa yang kelihatan seperti nyalaan api di kawasan belakang kotak gear utama ketika menghampiri Landasan 04, sebelum terhenti dan musnah dalam kebakaran kira-kira 25 meter dari ambang landasan.

 

Menurut laporan itu, semua frekuensi komunikasi beroperasi seperti biasa dan tiada panggilan kecemasan atau isyarat meminta bantuan daripada helikopter tersebut direkodkan sepanjang sektor penerbangan berkenaan, dari berlepas sehingga kemalangan berlaku.

 

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia merumuskan bahawa keadaan cuaca di sekitar STOLport Long Lellang secara umumnya baik, dengan jarak penglihatan mendatar melebihi 10 kilometer sepanjang tempoh yang dinilai.

 

Laporan itu turut menyatakan bahawa sebagai tindakan keselamatan segera, Layang-Layang Aerospace menggantung operasi pesawat yang menggunakan jenis enjin sama sementara menunggu pengesahan kelayakan udara, sebelum Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) membenarkan pesawat terbabit kembali beroperasi pada 13 September selepas semakan teknikal.

 

Pemeriksaan terperinci bangkai helikopter akan dijalankan

Menurut laporan itu, pemeriksaan terperinci bangkai helikopter akan dijalankan bagi mengenal pasti sifat dan tahap kerosakan serta, jika dapat ditentukan, urutan dan perkembangan kebakaran serta kerosakan akibat sentuhan dengan tanah. Penemuan itu akan dimasukkan dalam laporan akhir.

 

Sementara itu, Kementerian Pengangkutan berkata, maklumat dalam laporan awal berkenaan tertakluk kepada pindaan berdasarkan bukti tambahan, manakala analisis menyeluruh dan kesimpulan siasatan akan diperincikan dalam laporan akhir.

 

Kementerian itu berkata, siasatan bertujuan mencegah kemalangan seumpamanya daripada berulang dan bukannya menentukan kesalahan atau liabiliti mana-mana pihak.

 

“Kementerian menghargai usaha AAIB serta kerjasama semua pihak yang membantu siasatan dan kekal komited untuk memperkukuh keselamatan penerbangan negara,” katanya. - BERNAMA

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved