
Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menahan seorang lagi pelajar lelaki berusia 16 tahun bagi membantu siasatan kes kematian seorang pelajar tingkatan dua di Kuala Pilah pada Jumaat lalu (25 September).
Ini menjadikan jumlah suspek yang ditahan meningkat kepada dua orang.
Menurut Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Alzafny Ahmad, suspek kedua yang merupakan pelajar dari sekolah yang sama itu dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Pilah untuk permohonan reman enam hari bermula 28 September sehingga 3 Oktober bagi siasatan lanjut.
Polis Siasat Kemungkinan Insiden Pelajar Tingkatan 14 Yang Maut Berkait Dengan Unsur Buli
Jelas Alzafny, pihaknya menjalankan siasatan menyeluruh dan satu pasukan siasatan dikhaskan untuk menyelesaikan kes ini termasuklah bagi mengetahui punca sebenar kematian mangsa, Muhammad Idlan Fareeq.
“Siasatan turut merangkumi aspek kemungkinan berlakunya insiden buli atau sebaliknya.”
Keputusan Bedah Siasat Belum Dapat Sahkan Punca Kematian Pelajar Tingkatan Dua
Mengulas lanjut, Alzafny berkata keputusan bedah siasat masih belum dapat menentukan punca sebenar kematian mangsa dan polis sedang menunggu keputusan sampel yang dihantar ke Jabatan Kimia.
Setakat ini, terdapat 69 keterangan saksi direkodkan yang terdiri daripada:
- 53 pelajar
- Empat guru
- Tiga warden
- Enam ibu bapa
- Dua doktor
- Seorang jurulatih tinju
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
5 Pelajar Lain Dakwa Pernah Dibuli Suspek Pertama Yang Ditahan
Dalam pada itu, beliau berkata seramai lima pelajar lain turut tampil membuat aduan dan mendakwa mereka juga pernah menjadi mangsa buli oleh suspek pertama yang ditahan pada 26 September lalu.
“Semalam saya ada sebut ada beberapa pelajar yang tampil membuat laporan pernah dibuli suspek pertama.
“Sehingga kini seramai lima pelajar mendedahkan pernah dibuli,” katanya ketika dihubungi Berita Harian hari ini (30 September).
Dua Suspek Merupakan Rakan Mangsa Dalam Kelas Memanah
Memetik laporan Kosmo, siasatan mendapati suspek pertama dan kedua serta mangsa adalah rakan sekelas bagi aktiviti sukan memanah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Za’ba di Kuala Pilah.
Mangsa Dipanggil Masuk Ke Bilik Suspek Ketika Prep Sebelum Dipukul Guna Getah Paip – Polis
Hasil siasatan mendapati kejadian berlaku selepas solat Maghrib pada Jumaat lepas, ketika semua pelajar sepatutnya mengikuti sesi ulang kaji (prep) di asrama.
Bagaimanapun menurut Alzafny, suspek telah bertindak memanggil mangsa yang baharu sahaja selesai solat ke biliknya di tingkat dua Blok A kemudian memukul mangsa menggunakan getah paip pada bahagian tapak kaki beberapa kali.
“Mangsa turut dipukul pada beberapa bahagian badan, apabila keadaan mangsa kritikal kemudian warden asrama dihubungi dan mangsa di bawa ke hospital, kemudian doktor mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.
Sebelum kejadian, beliau berkata mangsa juga telah diarahkan untuk mengambil getah paip tersebut dari bilik air dan dibawa ke bilik suspek.
“Sejurus masuk ke dalam bilik, mangsa dipukul beberapa kali pada bahagian tapak kaki menggunakan getah paip.
“Mangsa kemudian diarahkan berdiri dan membuka baju sebelum dipukul menggunakan tangan pada bahagian depan dan belakang badan sehingga rebah,” lapor Sinar Harian.
Polis Tidak Dapat Sahkan Pelajar Tingkatan Dua Meninggal Di Asrama Atau Ketika Menuju Ke Hospital
“Kita tidak dapat pastikan sama ada mangsa meninggal di asrama atau dalam perjalanan menuju ke hospital,” katanya.
Sebelum ini, seorang pelajar tingkatan empat direman enam hari bagi membantu siasatan, berhubung kematian seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun di sebuah sekolah menengah Kuala Pilah.
Mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) Kuala Pilah dan disahkan meninggal dunia.
Pada masa ini, suspek pertama direman dari 26 September hingga 1 Oktober, manakala suspek kedua dari 28 September hingga 3 Oktober.






