
Kota Kinabalu: Seorang lelaki berusia 37 tahun didakwa di Mahkamah Majistret pada Rabu atas tiga pertuduhan menyebabkan kecederaan terhadap tiga lelaki menggunakan pisau.
Abdull Rahman Adnan mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Marilyn Kelvin terhadap semua pertuduhan yang didakwa dilakukan kira-kira jam 9.30 malam pada 18 Ogos lalu di Kampung Muhibbah, Petagas, Putatan.
Bagi pertuduhan pertama, Abdull didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Rizuan Muhammad, 40, menggunakan pisau.
Pertuduhan kedua membabitkan Mohd Azrul Jamri, 34, manakala pertuduhan ketiga melibatkan Mohd Safuan Nasip, 35.
Kesemua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman berkenaan jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan 18 September, 1 Oktober dan 22 Oktober untuk pengurusan kes prabicara di tiga Mahkamah Majistret berbeza.
Abdull dibenarkan diikat jamin RM1,300 dengan dua penjamin bagi setiap pertuduhan dan diarahkan melaporkan diri kepada pegawai penyiasat sebulan sekali.
Sementara itu dua lelaki masing-masing dihukum penjara tujuh bulan kerana melupuskan barang curi.
Erwan Zulfekar Edin, 30, dan Ahmad Asrein Badallumin, 28, mengaku bersalah kerana memindahkan dua tong gas berwarna kuning bertanda BCR yang dicuri dan merupakan milik Borneo Chicken Rice.
Kesalahan itu dilakukan di hadapan Baz Mini Market di UUC, Jalan Kayu Madang pada 27 Ogos lalu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 414 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Mahkamah dimaklumkan bahawa dua tong gas berkenaan didapati hilang dari belakang restoran Borneo Chicken Rice di UUC, Jalan Kayu Madang kira-kira jam 12.15 tengah hari pada 23 Ogos.
Polis kemudian menahan Erwan dan Ahmad berhubung kes berkenaan.
Kedua-dua lelaki yang diwakili peguam yang bertugas Jasamine Tan memohon hukuman ringan manakala pihak pendakwaan memohon hukuman berbentuk pencegahan.
Mahkamah memerintahkan hukuman penjara mereka berkuat kuasa dari tarikh tangkapan.
Kes dikendalikan Inspektor Dzulfamie Amrin dan Yusdi Basri bagi pihak pendakwaan.






