
SHAH ALAM – Polis telah mendapat arahan pertuduhan berhubung kes kekecohan penangkapan anjing liar sehingga membawa kematian anjing dikenali Rocky di Mahkamah Majistret Klang, esok.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata. arahan itu diterima daripada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya (TPR) selepas siasatan selesai dijalankan.
“Insya-Allah, esok dijangka akan diadakan pertuduhan di Mahkamah Majistret Klang. Saya mohon rakan media merujuk pihak mahkamah bagi mendapatkan waktu sebenar pertuduhan.
“Pertuduhan ini dijangka bukan sahaja membabitkan pihak polis, malah agensi penguat kuasa lain juga,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini, hari ini.
Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut sama ada pertuduhan itu membabitkan lelaki dan wanita yang sebelum ini dikaitkan dengan kes berkenaan, termasuk seksyen undang-undang yang akan digunakan.
Shazeli turut menasihatkan orang ramai supaya tidak mengadakan sebarang perhimpunan atau tunjuk perasaan berkaitan kes berkenaan.
Katanya, siasatan sudah dijalankan secara menyeluruh dan pihak polis sudah mengenal pasti individu yang bertanggungjawab.
“Siasatan yang kami jalankan ini telah membawa kepada arahan pertuduhan esok. Ini menunjukkan bahawa kita tidak berpihak mana-mana pihak.
” Selagi ada yang melanggar undang-undang, kita akan jalankan siasatan dan mengambil tindakan mengikut lunas undang-undang.
“Justeru, pada masyarakat, berilah kepercayaan dan ruang kepada perundangan untuk melaksanakan bahagiannya. Tidak perlu hadir (untuk membuat perhimpunan),” jelasnya.
Mengenai kawalan keselamatan, Shazeli berkata, polis sememangnya menjalankan kawalan di kawasan mahkamah, termasuk memastikan ketenteraman awam sepanjang prosiding.
Beliau menegaskan orang ramai yang hadir esok supaya mematuhi arahan polis dan tidak mencetuskan sebarang kekecohan.
“Biarlah undang-undang menjalankan tugasnya,” katanya.
Kosmo! sebelum ini melaporkan polis menjalankan siasatan berhubung kes tersebut dibawah Seksyen 428 Kanun Keseksaan kerana kesalahan khianat dengan membunuh haiwan.
Terdahulu, pemuda yang terpalit dalam kekecohan operasi penangkapan Rocky yang membawa kematian anjing itu akan didakwa oleh pihak Jabatan Veterinar di Mahkamah Klang, esok. – KOSMO! ONLINE
The post Kes Rocky: Polis terima arahan pertuduhan, prosiding esok appeared first on Kosmo Digital.






