
KUALA TERENGGANU: Polis mengingatkan orang ramai supaya tidak mengambil tindakan sendiri atau melakukan sebarang perbuatan bertentangan dengan undang-undang susulan penahanan tiga lelaki warga asing berketurunan Rohingya yang disyaki merogol seorang wanita orang kurang upaya (OKU) intelektual di Kemaman, dekat sini, Jumaat lalu.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd. Khairi Khairudin berkata, tindakan keterlaluan bukan sahaja boleh menjejaskan ketenteraman awam, malah berpotensi mengganggu siasatan yang sedang dijalankan polis.
“Serahkan sepenuhnya urusan dan tindakan siasatan kepada pihak berkuasa,” katanya di sini.
Beliau berkata, peringatan itu susulan perhimpunan penduduk tempatan di Flat Kampung Enjin Gergaji, Chukai, Kemaman bagi menyuarakan rasa tidak puas hati berhubung kes jenayah yang didakwa melibatkan warga asing di kawasan berkenaan.
Bagaimanapun, katanya, perhimpunan tersebut bersurai secara aman selepas polis memberikan penerangan dan mengadakan perbincangan dengan penduduk.
Mengulas kes berkenaan, Mohd. Khairi berkata, Polis Kontinjen Terengganu menerima laporan pada 7 Ogos lalu berhubung kejadian rogol membabitkan seorang wanita OKU intelektual berusia 23 tahun.
“Bertindak atas maklumat yang diterima, polis menahan tiga lelaki warga asing berkenaan bagi membantu siasatan. Ketiga-tiga suspek ditahan reman lima hari sehingga 12 Ogos ini di Mahkamah Majistret Kemaman,” katanya.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan. – UTUSAN
The post Kes rogol OKU: Jangan ambil tindakan sendiri terhadap warga asing – Polis appeared first on Utusan Malaysia.






