
KUALA LUMPUR: Sindiket penculikan yang ditumpaskan polis di Alor Setar, Jumaat lalu dipercayai didalangi warga China dengan menyasarkan warga asing menerusi tawaran kerja serta pengiring sosial di negara ini melalui media sosial.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M.Kumar berkata, siasatan pihaknya mendapati dua suspek yang ditembak mati serta enam lagi individu berusia lingkungan 30-an itu terlibat dengan empat kes penculikan melibatkan tiga warga China dan seorang rakyat Singapura.
Katanya, modus operandi sindiket adalah dengan menawarkan pekerjaan dan berkenalan untuk tujuan bersosial kepada mangsa melalui aplikasi media sosial iaitu Telegram, Wechat dan Badoo.
“Apabila sampai ke negara ini, suspek kemudian mendampingi mangsa sebelum menculik mereka dan mengurung di beberapa lokasi berlainan.
“Siasatan mendapati penjenayah ini bergerak dari satu lokasi ke tempat lain dengan menyewakan beberapa rumah inap desa.
“Dalam kes di Alor Setar, Kedah, kedua-dua mangsa ditemukan di kediaman yang disewa semalam oleh suspek dan siasatan lanjut mendapati terdapat beberapa rumah turut disewa oleh suspek di Pulau Pinang,” katanya semasa sidang akhbar di Bukit Aman di sini hari ini.
Menurutnya, dalam kes di Alor Setar, pihak polis menerima laporan daripada pengadu pada 6 Ogos lalu iaitu daripada wanita warga Singapura yang memaklumkan adik lelakinya yang berusia 72 tahun gagal dihubungi selepas tiba di negara ini pada 26 Julai melalui Lapangan Terbang Bayan Lepas, Pulau Pinang.
Ujar beliau, wanita itu mendakwa adik lelakinya ditawarkan menjadi jururunding di negara ini sebelum menerima panggilan telefon dan video menunjukkan mangsa diculik selain meminta wang tebusan SGD1 juta (RM3.19 juta).
“Bagaimanapun, ahli keluarga lelaki itu hanya mampu membayar SGD$15,000 (RM47,000) selepas berunding dengan suspek.
“Bertindak atas maklumat itu, pihaknya menyerbu sebuah rumah di Alor Setar, Kedah dan berlaku kejadian berbalas tembakan dengan dua suspek selain menemukan lelaki warga Singapura dan seorang warga China yang turut diculik yang diikat di bilik berasingan,” katanya.
Menurut Kumar, wanita China berusia 30 an itu didapati tiba di negara ini pada 5 Ogos lalu kononnya untuk bertemu dengan seorang wanita lain.
“Siasatan lanjut mendapati suspek meminta wang tebusan AS$20,000 (RM81,754) namun tiada bayaran dibuat setakat ini.
“Kita turut mendapati sindiket ini turut terlibat dengan dua penculikan wanita warga China pada 20 Julai lalu di Kuala Lumpur,” katanya.
Beliau percaya pihak polis berjaya melumpuhkan sindiket ini namun siasatan lanjut masih dijalankan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penculikan 1961, Seksyen 307 Kanun Keseksaan serta Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971,” katanya. – UTUSAN
The post Sindiket culik sasar warga asing melalui tawaran kerja, pengiring sosial appeared first on Utusan Malaysia.





