
Polis sedang giat mengesan dua individu bagi membantu siasatan kejadian samun bersenjatakan parang di sebuah kedai emas di Batu Enam, Gong Badak pada Khamis.
Kejadian kira-kira jam 10.45 pagi itu menyaksikan tiga dulang barang kemas dianggarkan bernilai RM500,000 dilarikan dalam tempoh hanya 13 saat.
Timbalan Ketua Polis Terengganu, SAC Suffian Sulaiman berkata, kejadian berlaku di kedai emas Permata Al-Idrus yang terletak di Bangunan SEDC 15, Batu Enam.
Menurutnya, siasatan awal mendapati dua lelaki memasuki premis berkenaan dengan memakai topi keledar serta menutup muka bagi mengelakkan identiti dikenal pasti.
“Salah seorang suspek bertindak masuk ke bahagian dalam kedai dengan bersenjatakan sebilah parang, manakala seorang lagi dipercayai berperanan memantau keadaan sekeliling serta mengawasi pergerakan pekerja.
“Ketika kejadian, kesemua pekerja kedai emas berkenaan bertindak menyelamatkan diri dengan melarikan diri ke bahagian belakang premis,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tiga dulang barang kemas dilarikan
Suspek kemudian mengambil tiga dulang barang kemas sebelum kedua-duanya melarikan diri menggunakan sebuah Perodua Axia berwarna putih dengan nombor pendaftaran DEU 8596.
Suffian berkata, semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati kejadian samun itu berlaku dalam tempoh kira-kira 13 saat.

Hasil tindakan pantas polis, kenderaan yang digunakan suspek ditemukan di Kampung Pak Yuyu, Mengabang Telipot, kira-kira jam 12.30 tengah hari pada hari sama.
Pemeriksaan forensik yang dijalankan Bahagian Siasatan Forensik (D10), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Terengganu terhadap kenderaan berkenaan turut menemukan kesan cap jari positif.
Kejadian Rompakan Kedai Emas di Batu 6, Kuala Nerus, Terengganu. Jam 10.45 pagi tadi.
— kamaghul deghaman (@kamaghul) November 12, 2026
Nampak kedai emas ni macam takde safety, usually berpagar dan akan ada security guard 🤔 pic.twitter.com/rvEckgCwyW
Dua individu dikesan
Dalam pada itu, polis mengeluarkan gambar dan butiran dua individu yang dikehendaki sebagai saksi bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Mereka dikenal pasti sebagai Mohamad Amin Ridhuan Haji Ismail, 36, yang dikenali sebagai Dik Min atau Mat Amin, serta Muhammad Hafizul Affendi Abdul Fattah, 27, yang dikenali sebagai Mat Long.
Sehubungan itu, polis meminta mereka tampil di balai polis berhampiran, manakala orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Turus D9 Terengganu, DSP Mohd Amy Dazni Danial di talian 019-8407667 atau Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Kuala Terengganu, DSP Mohd Hisham Chin Abdullah di talian 019-3842529.
Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan sehingga boleh menjejaskan siasatan.
The post Kes samun kedai emas Batu Enam: Polis minta ‘Dik Min’, ‘Mat Long’ serah diri appeared first on The Reporter.


![[VIDEO] Dik Min, Mat Long dicari kes samun kedai emas di Kuala Nerus](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/11/Untitled-Design-2026-11-13T153013.367.png)


