Polis tahan dua lelaki, selesai tiga kes pecah rumah, kedai di Mentakab

13 Nov 2026 • 10:52 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Polis tahan dua lelaki, selesai tiga kes pecah rumah, kedai di Mentakab
Barangan disyaki hasil curi yang dirampas bersama suspek.Foto : FB Polis Temerloh

TEMERLOH – Tiga kes pecah rumah dan kedai yang dilaporkan berlaku di sekitar Mentakab antara Oktober hingga November lalu berjaya diselesaikan susulan penahanan dua suspek lelaki di sini, Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Nasyim Bahrom berkata, kedua-dua suspek ditahan selepas disyaki terlibat dalam kejadian pecah masuk sebuah kedai runcit di Taman Perindustrian Temerloh, di sini.

Menurutnya, kejadian disedari pemilik premis kira-kira jam 4 pagi selepas dimaklumkan pekerjanya mengenai kehadiran suspek yang dipercayai memecah masuk premis berkenaan.

"Pemilik kedai kemudian menghubungi Pejabat Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh untuk tindakan lanjut.

"Bertindak atas maklumat itu, sepasukan anggota dari Balai Polis Mentakab ke lokasi dan berjaya menahan suspek pertama kira-kira jam 5.15 pagi di bahagian belakang kedai bersama peralatan dipercayai digunakan untuk memecah masuk premis," katanya.

Mohd Nasyim berkata, suspek kedua ditahan di dalam kedai bersama barangan yang dipercayai dicuri dan disembunyikan di belakang pintu premis berkenaan.

Katanya, antara barangan yang dirampas termasuk 58 karton rokok, 117 kotak rokok pelbagai jenama serta dua kotak peranti rokok elektronik.

"Polis turut merampas amat pemotong besi, topeng muka berwarna hitam dan sejumlah wang manakala nilai keseluruhan kerugian dianggarkan RM5,000," katanya.

Jelasnya,hasil siasatan dan tangkapan ke atas suspek itu, pihaknya percaya berjaya menyelesaikan tiga kes pecah rumah dan kedai yang dilaporkan berlaku di kawasan Mentakab sepanjang Oktober dan November lalu.

"Kedua-dua suspek yang ditahan didapati memiliki rekod jenayah.

"Kedua-dua suspek kini di tahan reman sehingga Sabtu ini," katanya.

Menurutnya lagi, kertas siasatan telah dikemukakan kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk mendapatkan arahan selanjutnya," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved