Kes tikam pelajar: Remaja 15 tahun ada sejarah keluarga sakit mental

LocalFamily & Parenting
23 Sep 2026 • 5:29 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Kes tikam pelajar: Remaja 15 tahun ada sejarah keluarga sakit mental

SHAH ALAM, 23 SEPT: Remaja lelaki berusia 15 tahun yang dibebaskan daripada pertuduhan membunuh rakan sekolahnya mempunyai sejarah keluarga yang menghidap penyakit mental.

Perkara itu dinyatakan dalam alasan penghakiman Mahkamah Tinggi Shah Alam yang mendapati remaja berkenaan tidak siuman ketika kejadian pada 14 Oktober tahun lalu.

Hakim Adlin Abdul Majid berkata terdapat kecenderungan genetik yang kuat terhadap penyakit mental dalam keluarga sebelah bapa tertuduh.

Menurut beliau, ibu saudara tertuduh di sebelah bapanya yang meninggal dunia pada 1983 pernah mengalami gangguan mental dan dimasukkan ke institusi rawatan psikiatri setahun sebelumnya.

"Dua anak lelaki wanita berkenaan turut dilaporkan mengalami penyakit sama.

“Kakak remaja itu sedang menerima rawatan daripada pakar psikiatri untuk kemurungan,” katanya dalam alasan penghakiman.

Mahkamah turut mendapati tertuduh mula terdedah kepada internet dan permainan video sejak berusia tujuh tahun.

Aktiviti itu pada awalnya dilakukan bersama abang serta rakan sekolah sebelum dia mula bermain sendirian sehingga 10 jam sehari, termasuk kerap melepasi tengah malam.

Alasan penghakiman menyatakan permainan video yang dimainkan mengandungi unsur keganasan, penyeksaan, bahasa kesat dan kandungan seksual, selain mendedahkan remaja itu kepada risiko tingkah laku toksik dalam talian.

Selain permainan video, dia juga dilaporkan menghabiskan tempoh panjang membaca komik manga dan menonton siri anime sehingga 10 jam sehari tanpa henti.

Antara kandungan yang ditonton bertemakan penceritaan gelap termasuk keganasan, pembunuhan, perbuatan menghendap, seks, buli dan bunuh diri.

Pada 14 September lalu, Mahkamah Tinggi melepas dan membebaskan remaja terbabit daripada pertuduhan membunuh pelajar perempuan berusia 16 tahun selepas mendapati dia tidak siuman ketika kejadian pada 14 Oktober tahun lalu.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved