Kesal! Akaun WhatsApp Saifuddin Nasution digodam, orang ramai diingatkan jangan terpedaya

LocalPolitics
26 May 2025 • 10:28 PM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Akaun WhatsApp milik Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, telah digodam oleh pihak tidak bertanggungjawab, sekali gus mencetuskan kebimbangan berhubung potensi penipuan terhadap orang awam.

Pejabat beliau dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan bahawa perkara itu telah dilaporkan kepada pihak berkuasa dan menasihatkan orang ramai agar tidak terpedaya dengan mesej atau panggilan palsu yang mungkin menggunakan identiti menteri berkenaan.

image is not available

Amaran itu khusus merujuk kepada sebarang bentuk komunikasi yang melibatkan urusan kewangan atau permintaan untuk mengatur pertemuan.

“Pihak kami amat kesal dengan tindakan penggodam yang tidak bertanggungjawab ini dan berharap agar masyarakat tidak mudah terpedaya dengan penipuan sebegini.
“Kami juga menasihatkan orang ramai agar lebih peka dengan sindiket penipuan melalui pelbagai aplikasi media sosial dan turut melaporkan tindakan penggodam-penggodam ini kepada pihak yang berkuasa,” kata kenyataan kementerian itu.

image is not available

Akaun WhatsApp Saifuddin Nasution digodam

Insiden ini merupakan antara kes terbaharu melibatkan tokoh politik negara yang menjadi mangsa pengambilalihan akaun mesej atau media sosial oleh penggodam.

Antara yang pernah mengalami nasib sama termasuk Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud yang akaun WhatsApp miliknya digodam pada Februari lalu dan digunakan untuk meminta wang.

image is not available

Pada Ogos 2022, akaun Telegram milik bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, serta bekas Menteri Luar Negeri, Datuk Saifuddin Abdullah, turut menjadi sasaran penggodam.

Sementara itu, pihak WhatsApp sebelum ini menasihatkan semua pengguna untuk mengaktifkan ciri pengesahan dua langkah (two-step verification) sebagai langkah keselamatan tambahan bagi melindungi akaun daripada diakses tanpa kebenaran.