Kos pembinaan, ketidaktentuan ekonomi terus tekan pemaju hartanah Malaysia - Tinjauan Rehda

23 Sep 2026 • 3:50 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Kos pembinaan, ketidaktentuan ekonomi terus tekan pemaju hartanah Malaysia - Tinjauan Rehda Image from: Kos pembinaan, ketidaktentuan ekonomi terus tekan pemaju hartanah Malaysia - Tinjauan Rehda hamden23/09/2026 - 15:50 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 23 Sept – Tekanan kos pembinaan dan ketidaktentuan ekonomi terus membebani pemaju hartanah Malaysia, dengan 81% responden melaporkan peningkatan kos menjalankan perniagaan, menurut tinjauan terkini Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda).

 

Daripada jumlah itu, 35% pemaju berdepan kenaikan kos antara 3% hingga 6% susulan perang di Timur Tengah, manakala 63% responden menyatakan kesukaran mendapatkan bahan binaan dan tenaga kerja sepanjang separuh pertama (1H) 2026.

 

Tekanan tersebut turut dicerminkan menerusi peningkatan purata 13% dalam kos pembinaan antara Mac hingga Jun 2026, yang dikaitkan dengan kenaikan harga bahan api dan ketegangan geopolitik berterusan.

 

Presiden Rehda Malaysia, Datuk Zaini Yusoff, berkata dapatan tinjauan menunjukkan pasaran hartanah kekal stabil namun sederhana, sekali gus memaksa pemaju beroperasi dalam persekitaran yang mencabar susulan peningkatan kos diesel dan bahan binaan.

 

“Keseragaman dalam jumlah pelancaran dan peningkatan sederhana dalam jualan menunjukkan permintaan masih wujud dalam pasaran, namun dapatan tinjauan jelas menunjukkan pemaju terus berdepan tekanan ketara daripada peningkatan kos, kekangan pembiayaan dan ketidaktentuan dalam persekitaran ekonomi yang lebih luas,” katanya.

 

Tinjauan yang dijalankan Rehda Institute pada Julai dan Ogos itu melibatkan 181 ahli di Semenanjung Malaysia, dengan penilaian dibuat terhadap prestasi separuh pertama 2026 serta jangkaan industri bagi tempoh akan datang.

 

Tinjauan berkenaan turut mendapati pemaju mengambil pelbagai langkah bagi mengurangkan tekanan kos, termasuk membekukan pengambilan pekerja, mengurangkan faedah pekerja dan melaksanakan pemberhentian pekerja.

 

Pemaju jadual semula pelancaran projek

Sebahagian pemaju turut menjadualkan semula atau mengurangkan skala pelancaran projek yang dirancang bagi menyesuaikan diri dengan keadaan pasaran semasa.

 

Sebanyak 63% pemaju hartanah menangguhkan pelancaran projek bagi separuh kedua 2026 susulan keadaan pasaran yang tidak menggalakkan, kelewatan kelulusan serta peningkatan stok hartanah tidak terjual.

 

Menurut Zaini, pemaju perlu menilai semula jadual pelancaran dan tidak meneruskan projek yang mempunyai kadar penyerapan lemah kerana bayaran pembinaan tetap perlu dibuat walaupun jualan tidak mencapai sasaran.

 

Kerja tanah dan infrastruktur antara yang paling terdedah kepada kenaikan harga diesel serta bahan berkaitan minyak seperti bitumen, dengan sesetengah kos meningkat sekitar 20% hingga 25%.

 

Sebagai perbandingan, kerja pembinaan biasa mencatatkan peningkatan sekitar 3% hingga 5%.

 

Bagaimanapun, Zaini berkata harga bahan binaan secara keseluruhannya telah stabil selepas kenaikan awal dan tidak menjangkakan peningkatan pada skala sama walaupun konflik geopolitik berterusan.

 

Menurut beliau, pemaju dan kontraktor telah mengambil kira jangkaan peningkatan kos dalam tender terbaharu.

 

59% responden melaporan unit kediaman siap tidak terjual  

Sementara itu dalam tempoh enam bulan pertama 2026, jualan daripada pelancaran kediaman baharu meningkat 3.2% berbanding enam bulan sebelumnya kepada 5,260 unit.

 

Kadar penyerapan turut meningkat sedikit kepada 33.2% daripada 32.2%, manakala jumlah unit yang dilancarkan tidak banyak berubah.

 

Bagaimanapun, 59% responden melaporkan mempunyai unit kediaman siap yang tidak terjual setakat 30 Jun 2026.

 

Rehda berkata, penolakan pinjaman pembeli, harga yang tinggi serta unit Bumiputera yang belum dilepaskan merupakan antara sebab utama berlakunya stok tidak terjual itu.

 

Daripada stok kediaman siap tidak terjual yang dilaporkan, 32% telah berada dalam pasaran selama lebih tiga tahun.

 

Sementara itu, pemaju yang masih merancang pelancaran pada separuh kedua 2026 dijangka melancarkan 18,696 unit kediaman, kira-kira 18% lebih tinggi berbanding 15,834 unit pada separuh pertama tahun ini.

 

Zaini berkata pihaknya agak optimistik pasaran hartanah akan kembali pulih selepas konflik geopolitik diselesaikan.

 

Bagaimanapun, beliau menjangkakan pembeli masih berhati-hati sehingga awal tahun depan. - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved