liza23/09/2026 - 09:33 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 23 Sept – RHB Research menjangka prestasi sektor telekomunikasi Malaysia bertambah baik pada separuh kedua 2026, susulan kebimbangan terhadap Digital Nasional Berhad (DNB) yang semakin berkurangan selain potensi penjimatan kos 5G dan pertumbuhan perniagaan pusat data.
Firma penyelidikan itu berkata, kebimbangan berkaitan DNB yang selama ini memberi tekanan kepada sektor telekomunikasi dijangka beransur reda apabila terdapat kejelasan lebih baik mengenai pendapatan dan hala tuju perbelanjaan modal syarikat tersebut.
RHB berkata kesan perakaunan ekuiti DNB terhadap keuntungan FY2026 CelcomDigi Berhad (CDB) dan Maxis Berhad dijangka kecil dengan kesannya dianggarkan daripada sedikit negatif hingga hampir tiada kesan ketara.
Dalam unjurannya, RHB mengambil kira kerugian DNB bermula suku keempat FY2026 dengan kesan pencairan keuntungan dianggarkan antara 2% hingga 7% bagi FY2026 dan FY2027 termasuk kos borong 5G yang lebih tinggi.
Firma itu mengunjurkan kerugian bersih DNB berkurangan kepada kira-kira RM600 juta pada FY2026, RM500 juta pada FY2027 dan RM400 juta pada FY2028, berbanding RM1.2 bilion pada FY2024.
TM berpotensi jimat kos 5G
Bagaimanapun, RHB tidak menolak kemungkinan DNB memerlukan suntikan tunai tambahan bagi membiayai keperluan modal kerja serta peningkatan dan pemodenan rangkaian.
Dalam pada itu, RHB melihat perjanjian rangkaian teras pelbagai pengendali (MOCN) baharu antara Telekom Malaysia Berhad (TM) dan U Mobile sebagai perkembangan yang boleh memberikan penjimatan kos secara langsung kepada TM.
“Kami menjangkakan TM mendapat manfaat daripada penjimatan kos borong 5G mulai FY2027 berikutan penyelesaian lebih awal daripada jangkaan bagi peralihan operasi kepada rangkaian 5G U Mobile.
“Kos langsung TM yang merangkumi kos borong 5G, meningkat 17% pada FY2025 selepas perubahan dalam pengiktirafan kos akses 5G DNB kepada komitmen minimum secara kontrak.
“Di bawah perjanjian awal dengan DNB pada Oktober 2022, pengguna akses termasuk TM yang melanggan produk asas borong 5G nasional DNB perlu membuat komitmen kapasiti minimum 800 gigabit sesaat (Gbps) sebulan pada kadar RM30,000 bagi setiap Gbps, bersamaan RM288 juta setahun,” kata firma itu dalam nota kajiannya.
Pusat data jadi pemacu baharu
Selain penjimatan kos 5G, RHB melihat perniagaan pusat data sebagai pemacu pertumbuhan seterusnya bagi TM, khususnya dengan peningkatan permintaan berkaitan kecerdasan buatan (AI).
RHB berkata, kekurangan pendedahan mengenai perniagaan pusat data menyebabkan pelabur kurang menghargai potensi perniagaan tersebut yang ditempatkan di bawah TM Global bagi perniagaan borong dan TM One bagi segmen korporat serta kerajaan.
Menurut RHB, pertumbuhan perniagaan pusat data itu akan disokong oleh peningkatan beban kerja berkaitan AI, dengan TM mempunyai kira-kira 40 megawatt (MW) aset pusat data milik langsung.
Bagi usaha sama pusat data AI TM dengan Singtel melalui TM Nxera, kira-kira 70% daripada kapasiti pusat data yang akan datang telah ditempah lebih awal menjelang pentauliahan Fasa 1 berkapasiti 64MW pada suku keempat FY2026.
TM terus kembangkan pusat data
TM turut meneroka pembangunan pusat data baharu dan telah memulakan pengembangan Fasa 2 TM Nxera berkapasiti 136MW, selain tidak menolak kemungkinan mendapatkan pelabur strategik bagi membiayai pelaburan pusat data seterusnya.
Berdasarkan semakan RHB, perbincangan sedang berlangsung dengan pelanggan bagi pelaksanaan perkhidmatan unit pemprosesan grafik sebagai perkhidmatan (GPUaaS) untuk TM Nxera, yang menurut firma itu lebih menjimatkan kos dengan tempoh pulangan modal sekitar tiga hingga empat tahun.
Secara keseluruhan, RHB mengekalkan penarafan Neutral terhadap sektor telekomunikasi Malaysia dengan lima saham dalam liputan, terdiri daripada tiga penarafan Beli dan dua Neutral tanpa sebarang penarafan Jual. - DagangNews.com






