Keselamatan sekolah agenda negara

LocalPolitics
7 Oct 2026 • 12:24 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Keselamatan sekolah agenda negara
Pemergian Allahyarhamah Irene Sofiya merupakan kehilangan besar kepada keluarga, masyarakat dan negara.

SAYA merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarhamah Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal, 16, yang meninggal dunia selepas ditemukan tidak bermaya di sebuah sekolah di Yong Peng, Johor.

Pemergian Allahyarhamah merupakan kehilangan besar kepada keluarga, masyarakat dan negara. Lebih menyayat hati, tragedi ini berlaku di tempat yang sepatutnya menjadi ruang paling selamat untuk anak-anak kita.

Kita menghormati siasatan pihak berkuasa dan mendoakan agar ia dapat diselesaikan dengan segera. Namun, satu prinsip mesti jelas: apa jua puncanya, keganasan tidak boleh diterima dan keselamatan anak-anak tidak boleh dikompromi.

Rentetan insiden buli, gangguan, pergaduhan, kemalangan, keganasan dan kecederaan yang melibatkan kanak-kanak serta remaja dalam premis pendidikan wajar dilihat sebagai isu keselamatan yang serius dan sistemik.

Kita tidak boleh terus menguruskan setiap kejadian sebagai insiden yang terasing tanpa menilai kelemahan sistem secara menyeluruh.

Sekolah ialah institusi yang bukan sahaja mendidik insan dan memupuk kasih sayang, tetapi juga mesti mempunyai keupayaan mengesan, mencegah dan menyelamatkan warganya melalui sistem amaran awal, saluran pelaporan yang berkesan dan tindakan pantas.

Kita telah mempunyai undang-undang khusus berkaitan buli, garis panduan dan SOP. Persoalan yang perlu dijawab sekarang ialah sejauh mana prinsip keselamatan benar-benar digarap dalam budaya sekolah, dihayati oleh seluruh warga sekolah, dilaksanakan secara konsisten dan dikuatkuasakan apabila berlaku pelanggaran.

SOP tanpa pelaksanaan dan penguatkuasaan tidak akan mampu menyelamatkan nyawa.

Sehubungan itu, saya menyeru kerajaan supaya mengambil langkah tegas, menyeluruh dan berasaskan akauntabiliti, antaranya:

Melaksanakan audit keselamatan menyeluruh terhadap semua sekolah dan asrama, termasuk kawalan akses, titik buta, rondaan, pencahayaan, aktiviti selepas waktu persekolahan dan prosedur kecemasan;

Memperkukuh sistem pelaporan dan amaran keselamatan, dengan setiap aduan direkodkan, dinilai mengikut tahap risiko dan dipantau sehingga tindakan selesai;

Melantik pegawai keselamatan dan perlindungan kanak-kanak daripada kalangan warga sekolah yang jelas bertanggungjawab, di samping memperkukuh hubungan dan koordinasi dengan pegawai PDRM;

Memperkukuh koordinasi rentas agensi melibatkan KPM, PDRM, KKM, JKM, kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan dan komuniti; serta

Mewajibkan latihan dan simulasi keselamatan secara berkala supaya tahap kesiapsiagaan sentiasa diuji dan ditambah baik, bukan hanya selepas sesuatu tragedi berlaku.

Apa jua motif yang akhirnya dikenal pasti — termasuk konflik, dendam, tekanan emosi atau faktor kesihatan mental — tidak boleh menjadi lesen atau alasan untuk melakukan keganasan.

Pada masa yang sama, sebarang tanda risiko mesti dikesan lebih awal dan ditangani melalui intervensi yang sewajarnya.

Prinsip Islam لَا ضَرَرَ وَلَا ضِرَارَ — tidak boleh melakukan kemudaratan dan tidak boleh membalas kemudaratan dengan kemudaratan — mesti diterjemahkan sebagai prinsip kehidupan dan budaya keselamatan di sekolah.

Kita mesti memastikan Irene Sofiya tidak menjadi sekadar satu lagi nama dalam statistik tragedi sekolah.

Pemergian permata negara ini tidak boleh berlalu tanpa pengajaran dan tindakan. Tragedi ini mesti menjadi dorongan untuk kita memperkukuh sistem perlindungan anak-anak secara nyata, menyeluruh dan terukur.

Kita perlu memutuskan trauma keselamatan sekolah, memulihkan keyakinan pelajar, ibu bapa dan guru, serta memastikan masyarakat tidak kehilangan kepercayaan terhadap keselamatan sekolah dan asrama di negara kita.

Sekolah mesti kembali menjadi tempat paling selamat untuk anak-anak kita.

Keselamatan kanak-kanak bukan ruang untuk berkompromi. Ia adalah kelangsungan sebuah ummah dan tanggungjawab negara.

*Datuk Mumtaz Md Nawi ialah Ahli Parlimen Tumpat, Ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Wanita, Keluarga dan Perpaduan Masyarakat, Parlimen Malaysia dan Pengerusi Lajnah Hubungan Antarabangsa Dewan Muslimat Pas Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved