
PETALING JAYA: Kekalahan kepada beregu Thailand mendedahkan satu perkara yang perlu segera diperbaiki Pearly Tan-M. Thinaah apabila beregu wanita No.5 dunia itu mengakui kesilapan mudah kini sudah mula menjadi tabiat mereka.
Kekalahan itu hadir pada waktu yang cukup tidak ideal buat Pearly-Thinaah, apatah lagi mereka hanya mempunyai kira-kira dua minggu untuk melakukan pembetulan sebelum turun memburu cabaran di Sukan Asia.
Pearly mengakui mereka perlu kembali menilai corak permainan dengan lebih serius selepas kesilapan mudah yang berulang mula menjejaskan rentak serta keyakinan mereka di gelanggang.
“Banyak yang perlu kami perbaiki lagi, terutama cara kami bermain di gelanggang, dan saya rasa kesilapan mudah itu sudah menjadi satu tabiat bagi kami berdua.
“Jadi, kami benar-benar perlu kembali dan memikirkannya dengan serius serta berusaha memperbaikinya, dan saya harap dalam tempoh dua minggu sebelum Sukan Asia ini kami mampu melakukan perubahan,” katanya.
Pearly-Thinaah tewas 16-21, 21-17, 19-21 kepada Benyapa Aimsaard-Nuntakarn Aimsaard pada pusingan kedua China Masters di Shenzhen Arena semalam, sekali gus menyaksikan rekod pertemuan mereka kini terikat 2-2.
Lebih mengecewakan, kekalahan itu adalah yang kedua berturut-turut kepada pasangan Thailand berkenaan di pentas Jelajah Dunia selepas turut tumbang pada Terbuka Singapura Mei lalu, namun Thinaah percaya mereka sendiri mensia-siakan peluang ketika mata-mata kritikal.
“Menjelang penghujung perlawanan, ada beberapa pukulan yang kami tidak cukup sabar kerana menyangka kami boleh mendapatkan mata, tetapi kami terlalu ghairah.
“Itu banyak merugikan kami ketika mata-mata penting, jadi perkara seperti ini memang perlu kami perbaiki sebelum Sukan Asia,” katanya.
Dalam pada itu, pasangan remaja, Low Zi Yu-Noraqilah Maisarah Ramdan turut tersingkir kepada pilihan keempat tuan rumah, Jia Yi Fan-Zhang Shu Xian 13-21, 16-21 dalam masa 39 minit permainan.-UTUSAN
The post Kesilapan mudah jadi tabiat Pearly-Thinaah appeared first on Utusan Malaysia.




