
KUALA LUMPUR: Reputasi tinggi yang dibawa Wong Pei Tty ke Akademi Badminton Malaysia (ABM) tidak bermakna dia mahu segala-galanya berubah dalam sekelip mata apabila jurulatih baharu beregu wanita negara itu meminta semua pihak bersabar dalam usaha melahirkan pasangan sehebat Pearly Tan-M. Thinaah.
Pei Tty yang pernah bergelar pemain beregu wanita No. 1 dunia bersama Chin Ee Hui berkata, pasangan muda perlu diberikan ruang mencukupi untuk berkembang kerana kejayaan Pearly-Thinaah sendiri terhasil melalui proses panjang, bukan dalam tempoh singkat.
“Pearly-Thinaah juga bukan terbentuk dalam satu hari, sebaliknya memerlukan program selama empat hingga lima tahun untuk mematangkan dan membangunkan mereka sebelum hasilnya dapat dilihat.
“Jadi, kita juga perlu berlaku adil kepada pasangan lain kerana mereka baru muncul dalam tempoh satu atau dua tahun dan sudah tentu memerlukan lebih masa untuk dibentuk,” katanya kepada pemberita selepas sesi latihan di ABM, semalam
Pei Tty berkata, pengalaman beraksi di peringkat antarabangsa penting buat pemain muda supaya mereka sendiri dapat mengenal pasti jurang dari segi kelajuan, kuasa, serangan dan aspek teknikal sebelum kembali memperbaiki kelemahan dalam latihan.
“Tidak kira pengalaman pertandingan atau pendedahan di peringkat antarabangsa, mereka perlu melihat sendiri jurang yang ada dan memahami perkara yang masih kurang dari segi kelajuan, kuasa, serangan serta teknikal.
“Mereka kemudian boleh kembali berlatih untuk memperbaiki kelemahan itu kerana tiada apa yang akan berlaku dalam satu hari,” katanya.
Pada masa sama, bekas pemain Sukan Olimpik Athens 2004 dan Beijing 2008 itu mengakui dirinya masih memerlukan masa untuk menilai barisan beregu wanita negara selepas baru memulakan tugas secara rasmi semalam dan belum berpeluang memantau pemain senior susulan kejohanan China Masters di Shenzen yang sedang berlangsung.
Pei Tty kembali ke BAM selepas menamatkan tugas sebagai jurulatih pembangunan bakat di Singapura bulan lalu, sekali gus membawa pengalaman baharu dalam aspek kepimpinan dan pembangunan pemain ke dalam skuad kebangsaan. – UTUSAN
The post Pei Tty minta masa lahirkan Pearly-Thinaah baharu appeared first on Utusan Malaysia.





