Kestabilan, kemajuan, kemakmuran teras pentadbiran baharu Negeri Sembilan

LocalPolitics
14 Aug 2026 • 1:40 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Kestabilan, kemajuan, kemakmuran teras pentadbiran baharu Negeri Sembilan

SEREMBAN: Kestabilan, kemajuan dan kemakmuran menjadi tiga tunjang utama pentadbiran baharu Kerajaan Negeri Sembilan dalam memastikan pembangunan negeri terus memberi manfaat kepada rakyat.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim berkata, kestabilan bukan sekadar merujuk kepada kerajaan yang mempunyai majoriti sokongan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN), sebaliknya turut merangkumi kestabilan institusi Raja Berperlembagaan dan institusi adat yang menjadi payung negeri.

“Selain itu, kestabilan pentadbiran yang profesional serta dasar yang memberi keyakinan kepada rakyat, pelabur dan dunia perniagaan juga amat penting.

“Negeri yang maju bukan sahaja diukur melalui angka pertumbuhan semata-mata, tetapi melalui keupayaan mencipta peluang, menarik pelaburan berkualiti, menyediakan pekerjaan bernilai tinggi dan melahirkan modal insan yang berdaya saing,” katanya berucap pada Perhimpunan Penjawat Awam dan Pelancaran Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Sembilan 2026 di Dewan Majlis Bandaraya Seremban (MBS), di sini, hari ini.

Ismail berkata, pembangunan perlu dilaksanakan secara menyeluruh supaya manfaatnya dapat dinikmati rakyat di seluruh negeri dan tidak tertumpu di kawasan tertentu sahaja.

Katanya, kemakmuran pula perlu dirasai segenap lapisan masyarakat menerusi hasil pembangunan yang memberi kesan positif terhadap kehidupan seharian.

“Kemakmuran dapat diterjemah dan memberi makna apabila peluang ekonomi semakin luas, masa berurusan dengan kerajaan menjadi lebih efisien serta keyakinan rakyat terhadap masa depan negeri ini,” katanya.

Selain itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh itu berkata, usaha merealisasikan ketiga-tiga tunjang berkenaan akan disokong menerusi agenda pembangunan ekonomi, kesejahteraan rakyat, pendidikan, modal insan, pertanian, pembangunan desa, perumahan, alam sekitar, pelancongan, agama, adat dan warisan, sukan, perpaduan serta penyampaian perkhidmatan.

Katanya, semua agenda berkenaan perlu diterjemahkan kepada program, dasar dan projek yang boleh diukur supaya pelaksanaannya dapat memberi manfaat kepada masyarakat.

“Agenda-agenda ini juga akan disokong oleh barisan EXCO yang telah diberikan amanah untuk bersama-sama saya dalam menerajui pentadbiran kerajaan negeri.

“Dengan semangat kerjasama ini, Negeri Sembilan akan terus menjadi negeri yang lebih berdaya saing dalam pelaburan dan perniagaan, membuka lebih banyak peluang kepada anak-anak muda, memperkukuh sektor pertanian dan ekonomi desa, menyediakan perumahan dan persekitaran hidup yang lebih baik, serta menghargai adat, budaya dan warisan sebagai kekuatan identiti kita,” katanya.

Pada masa sama, Ismail berkata, pembangunan negeri perlu dilaksanakan secara seimbang dengan memastikan kampung, kawasan luar bandar, Felda dan komuniti setempat turut menerima manfaat serta bergerak seiring dengan pembangunan di bandar-bandar utama. – UTUSAN

The post Kestabilan, kemajuan, kemakmuran teras pentadbiran baharu Negeri Sembilan appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved