SEREMBAN – Enam Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Negeri Sembilan didakwa menghantar surat kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi memohon parti menilai semula kepimpinan Datuk Seri Aminuddin Harun sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Negeri Sembilan.
Ia membabitkan Ketua Cabang Jelebu, Zainal Fikri Abd Kadir; Ketua Cabang Rembau, Dr Jufitri Joha; Ketua Cabang Seremban, Noor Iskandar Mohamad Nor; Ketua Cabang Rasah, Ahmad Izzudin Ismail; Ketua Cabang Kuala Pilah, Ismail Muhamad Nor dan Ketua Cabang Tampin, V Raja.
Berdasarkan surat yang dilihat Sinar Harian, dinyatakan bahawa permohonan itu dibuat demi memperkukuhkan organisasi parti di negeri terbabit susulan kekalahan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan baru-baru ini.
Surat berkenaan menyatakan keputusan PRN lalu memberi ruang untuk parti melakukan muhasabah terhadap kekuatan organisasi, strategi kempen serta keberkesanan kepimpinan di peringkat negeri.
"Sebagai sebuah parti yang mengamalkan prinsip kebertanggungjawaban, penilaian menyeluruh wajar dilakukan bagi memastikan PKR terus diyakini rakyat dan ahlinya.
“Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun harus bertanggungjawab di atas kekalahan PRN yang membuatkan Ketua-Ketua Cabang Keadilan Negeri Sembilan telah hilang kepercayaan terhadap Pengerusi MPN Negeri Sembilan,” kata mereka dalam surat terbabit.
Mereka sebulat suara turut menyatakan persetujuan sekiranya Pengerusi MPN negeri itu ditukar bagi menyusun gerak kerja yang lebih mampan, segar dan praktikal kepada keseluruhan cabang khususnya dan negeri amnya.
Kata mereka lagi, keputusan tersebut dibuat menerusi mesyuarat yang telah diadakan pada 6 Ogos lalu di Pejabat Cabang Seremban.
Di dalam surat terbabit turut dinyatakan beberapa faktor penyumbang kepada kekalahan parti itu dalam PRN lalu.
"Pihak kami juga ingin menyuarakan bahawa terdapat pandangan dalam kalangan beberapa ketua cabang yang menyatakan mereka telah hilang keyakinan terhadap
kewibawaan kepimpinan negeri dalam menyatukan jentera, menyelaras gerak kerja serta membina hubungan yang kukuh dengan kepimpinan cabang.
"Perkara ini, jika tidak ditangani dengan segera, dikhuatiri akan memberi kesan kepada persiapan parti menghadapi pilihan raya pada masa akan datang," kata mereka dalam surat tersebut.
Justeru, mereka memohon presiden menjalankan penilaian menyeluruh terhadap prestasi kepimpinan negeri serta mendapatkan pandangan daripada Ketua-Ketua Cabang dan pimpinan akar umbi berhubung hala tuju organisasi negeri.
Mereka turut meminta supaya pelantikan kepimpinan baharu dipertimbangkan sekiranya langkah itu didapati mampu mengembalikan keyakinan ahli, memperkukuhkan perpaduan serta meningkatkan kesiapsiagaan parti menerusi pendekatan lebih inovatif dan agresif.
Menurut surat itu, permohonan berkenaan dikemukakan bukan atas dasar kepentingan individu, sebaliknya demi memastikan PKR khususnya di Negeri Sembilan terus kekal sebagai sebuah parti yang kuat, bersatu dan diyakini rakyat.
Sementara itu Zainal Fikri, Ahmad Izzudin dan Ismail mengesahkan berkenaan surat tersebut yang ditandatangani oleh mereka, namun tidak pasti bagaimana ia tersebar.
Pada PRN Negeri Sembilan, Aminuddin yang juga Ahli Parlimen Port Dickson bertanding di Dewan Undangan Negeri Linggi tewas di Linggi dalam saingan tiga penjuru berdepan penyandang kerusi berkenaan Datuk Mohd Faizal Ramli daripada Barisan Nasional (BN) dan Zamri Md Said daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia(Bersatu).






