Ketidaktentuan tarikh pilihan raya boleh kekalkan pelabur dalam situasi berhati-hati, kata HLIB

LocalBusiness & Finance
18 Aug 2026 • 3:20 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Ketidaktentuan tarikh pilihan raya boleh kekalkan pelabur dalam situasi berhati-hati, kata HLIB Image from: Ketidaktentuan tarikh pilihan raya boleh kekalkan pelabur dalam situasi berhati-hati, kata HLIB amree18/08/2026 - 15:20 Foto BERNAMA Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

UALA LUMPUR 18 Ogos — Ketidaktentuan mengenai tarikh pilihan raya negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), berisiko mengekalkan pelabur dalam keadaan berhati-hati terhadap Bursa Malaysia untuk tempoh terdekat, menurut Hong Leong Investment Bank (HLIB).

 

Firma penyelidikan itu berkata risiko politik kekal tinggi meskipun keputusan DAP untuk kekal dalam kerajaan Persekutuan dijangka mengukuhkan kesinambungan dasar dan kestabilan gabungan, sekali gus belum cukup bagi menghapuskan kebimbangan pelabur.

 

Ujarnya, kemenangan besar Barisan Nasional (BN) di PRN Johor serta prestasi kukuh BN dan Perikatan Nasional (PN) di PRN Negeri Sembilan menunjukkan landskap politik domestik sedang berubah, yang boleh memberi kesan kepada sentimen pasaran.



Menurutnya, kemungkinan PRN di Melaka dan Sarawak, ketidakpastian tarikh PRU16 serta potensi kerjasama lebih rapat antara BN dan PN boleh terus menjadi faktor yang mempengaruhi keputusan pelaburan.

 

"Perkembangan landskap politik ini boleh menyebabkan pelabur kekal dalam mod penghindaran risiko," kata HLIB dalam nota penyelidikannya hari ini.

 

Tempoh pentadbiran Melaka ketika ini dijangka berakhir pada Disember tahun ini, diikuti Sarawak pada Februari 2027, manakala PRU16 perlu diadakan selewat-lewatnya pada Disember 2027.

 

Bursa Malaysia_DagangNews2026

 

HLIB berkata ketidaktentuan politik itu berlaku ketika pasaran saham domestik turut berdepan tekanan daripada ketegangan geopolitik di Timur Tengah, musim pengumuman keputusan korporat yang rancak pada Ogos serta aliran keluar berterusan pelabur asing.

 

Firma itu menjangkakan indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) bergerak dalam julat terhad kerana pelabur mengambil pendekatan berhati-hati berikutan ketidaktentuan luaran dan domestik yang berterusan serta kekurangan pemangkin baharu.

 

Pelabur institusi asing kekal sebagai penjual bersih bagi 10 daripada 11 sesi dagangan lalu, dengan aliran keluar bersih RM190 juta pada 18 Ogos 2026. Jumlah jualan bersih asing bagi lima sesi lalu mencapai RM761 juta manakala aliran keluar sejak awal bulan berjumlah RM1.25 bilion.

 

Secara kumulatif, pelabur asing sudah menjual bersih ekuiti Malaysia sebanyak RM3.73 bilion sepanjang tahun ini. Sebaliknya, institusi tempatan menjadi pembeli bersih RM145 juta pada Isnin, manakala pelabur runcit mencatat pembelian bersih RM45 juta.

 

FBM KLCI susut 1.5 mata kepada 1,725.9 mata pada Isnin selepas bergerak antara 1,722.2 hingga 1,731.5 mata, apabila kebimbangan geopolitik dan musim keputusan korporat mengatasi pertumbuhan ekonomi Malaysia yang lebih baik daripada jangkaan sebanyak 6% pada suku kedua.

 

HLIB berkata indeks itu kini memasuki fasa 'pengukuhan sihat' dalam jangka pendek selepas melonjak 95 mata daripada paras terendah tahun ini 1,655 mata pada 29 Jun kepada 1,750 mata pada 6 Ogos. Namun, penurunan dalam tujuh daripada lapan sesi terakhir menunjukkan momentum semakin lemah. 

 

Penembusan kukuh di bawah 1,720 mata boleh meningkatkan risiko susut ke 1,700 mata, manakala penembusan berterusan melepasi 1,730 dan 1,750 mata berpotensi menghidupkan semula momentum menaik. - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved