johardy22/08/2026 - 20:38 Oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 22 Ogos - Ketua Pegawai Eksekutif VentureTECH Sdn Bhd, Azizan Jaafar meninggal dunia hari ini, demikian diumumkan dalam laman rasmi META syarikat tersebut.
Pemergian Azizan amat memeranjatkan kerana allahyarham hanya kira-kira empat bulan dilantik menerajui syarikat pelaburan impak yang disokong kerajaan itu.
VentureTECH mengumumkan pemergian Allahyarham pada Sabtu dan menyifatkannya sebagai satu kehilangan besar kepada syarikat. Punca kematian tidak dinyatakan.
Allahyarham dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif VentureTECH pada 7 Mei lalu dengan membawa pengalaman hampir tiga dekad dalam bidang kewangan korporat, pelaburan dan kepimpinan strategik merentasi sektor swasta serta organisasi berkaitan kerajaan.
“Segala jasa, kepimpinan, komitmen, dedikasi serta sumbangan bakti Allahyarham sepanjang menerajui VentureTECH amat dihargai dan akan sentiasa dikenang,” menurut syarikat itu.
Pengerusi, Ahli Lembaga Pengarah, pengurusan serta seluruh warga kerja VentureTECH turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham.
Jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kemensah, Hulu Kelang, selepas Asar hari ini.
Sebelum itu, urusan pengurusan dan solat jenazah telah disempurnakan di Masjid Al-Iman, Kemensah Heights, dengan dihadiri oleh ahli keluarga, sanak saudara serta rakan-rakan terdekat bagi memberikan penghormatan terakhir.
Hampir tiga dekad pengalaman
Azizan sebelum ini diberi tanggungjawab menerajui hala tuju strategik VentureTECH dengan tumpuan meningkatkan prestasi portfolio, memperkukuh inisiatif penciptaan nilai serta memajukan pembangunan syarikat diterajui Bumiputera dalam sektor pertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi.
Sebelum menyertai VentureTECH, beliau merupakan Ketua Pegawai Kewangan dan Strategi Kumpulan Perbadanan Ekonomi Islam Perak Sdn Bhd dengan tanggungjawab merangkumi kewangan, strategi korporat dan fungsi sokongan utama bagi portfolio melibatkan sektor tenaga boleh diperbaharui, penjagaan kesihatan, perladangan dan hartanah.
Ketika pelantikannya diumumkan pada Mei, Pengerusi VentureTECH, Datuk Ir. Khalilur Rahman Ebrahim berkata, latar belakang kukuh Azizan dalam kewangan dan strategi dijangka memainkan peranan penting dalam memperkukuh mandat syarikat untuk membangunkan syarikat diterajui Bumiputera yang berdaya saing.
VentureTECH merupakan anak syarikat milik penuh Malaysian Industry-Government Group for High Technology (MIGHT) dan menyokong lebih 30 syarikat penerima pelaburan dalam sektor pertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi, dengan nilai portfolio melebihi RM2.5 bilion serta mewujudkan lebih 4,000 pekerjaan berkemahiran tinggi. - DagangNews.com






