
SEREMBAN: Seorang Ketua Pegawai Kewangan (CFO) sebuah institusi pengajian tinggi swasta didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan pecah amanah membabitkan wang berjumlah RM6.55 juta milik syarikat.
Tertuduh, Noraini Aripin, 55, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datin Kunasundary Marimuthu.
Mengikut pertuduhan, tertuduh yang diamanahkan dengan penguasaan wang berjumlah RM6,557,720 milik institusi pengajian tinggi swasta bagi tujuan pembayaran duti ad valorem kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), didakwa melakukan pecah amanah jenayah terhadap wang berkenaan.
Tertuduh didakwa secara tidak jujur menyalahgunakan wang tersebut dengan membuat pembayaran bagi tujuan lain selain pembayaran duti ad valorem kepada LHDN sehingga menyebabkan bayaran berkenaan tidak dibuat.
Kesalahan itu didakwa dilakukan antara September 2025 dan April 2026 di pejabat sebuah institusi pengajian tinggi swasta di Bandar Enstek, Nilai, di sini.
Oleh itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan tidak lebih 20 tahun serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Syairah Aqilah Khalil menawarkan jaminan RM100,000 dengan dua orang penjamin warganegara Malaysia berserta beberapa syarat tambahan.
Bagaimanapun, peguam bela, Kelvin Ong memohon mahkamah menetapkan jumlah jaminan lebih rendah sebanyak RM50,000.
Peguam bela memaklumkan tertuduh telah berkahwin dan mempunyai lima orang anak, kini menghidap kanser payudara tahap tiga serta sedang mendapatkan rawatan di sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur.
Katanya, tertuduh yang bekerja sebagai CFO sebuah institusi pengajian tinggi swasta dengan pendapatan RM15,000 sebulan turut menanggung kos sara hidup dan pendidikan keluarganya.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM80,000 dengan dua orang penjamin warganegara Malaysia berserta syarat tambahan.
Tertuduh diperintahkan melapor diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada minggu kedua setiap bulan sehingga kes selesai serta menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah.
Mahkamah menetapkan 21 September ini sebagai tarikh sebutan semula. – UTUSAN
The post Ketua Pegawai Kewangan IPTS didakwa pecah amanah RM6.55 juta appeared first on Utusan Malaysia.




![[VIDEO] Ketua Pegawai Kewangan IPTS didakwa pecah amanah lebih RM6.56 juta](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/08/WhatsApp-Image-2026-08-19-at-12.04.32-1024x768.jpeg)
