amree30/07/2026 - 16:00 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 30 Julai — THMY Holdings Berhad mencatatkan keuntungan bersih naik 34.9% kepada RM13.5 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2026 (FY26) berbanding RM10.0 juta pada FY25.
Peningkatan positif tersebut didorong terutama oleh pelaksanaan strategi pertumbuhan, permintaan merentasi pasaran teras dan pengiktirafan kepakaran pengeluaran dalam ekosistem elektronik maju.
Menurut makluman kumpulan berkenaan kepada Bursa Malaysia, pendapatan keseluruhan bagi tahun di bawah tinjauan turut melonjak kira-kira 36.8% kepada RM62.8 juta daripada RM45.9 juta pada FY25.
"Pencapaian ini disumbangkan oleh prestasi kukuh menerusi segmen rumusan ujian automatik (ATS), terutamanya perkhidmatan ujian dalam litar (ICT) dan ujian litar berfungsi (FCT)," jelas THMY
Di samping itu ujarnya, segmen berkenaan kekal sebagai penyumbang utama hasil syarikat, manakala dari sudut geografi, pasaran Thailand muncul sebagai pasaran terbesar sumbangan pendapatan.
Negara jiran tersebut menjana sebanyak RM25.7 juta atau 41% daripada jumlah keseluruhan, diikuti oleh pasaran Malaysia (RM14.8 juta), Taiwan (RM9.5 juta), dan Amerika Syarikat (AS) (RM8.2 juta).

Kumpulan itu menambah, FY26 merupakan tahun transformasi bagi THMY selepas berjaya disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 23 Oktober 2025, dengan harga terbitan ditawarkan 31 sen sesaham.
"Walaupun mencatatkan keuntungan tinggi, syarikat memutuskan tidak mengisytiharkan dividen bagi FY26 bagi mengekalkan fleksibiliti kewangan dan pengembangan perniagaan jangka panjang," katanya.
Pengerusinya, Datuk Dr Mohd Sofi Osman berkata, kedudukan kunci kira-kira syarikat semakin kukuh selepas penyenaraian menyediakan asas yang padat untuk menyokong aspirasi pertumbuhan masa depan.
Nilai tawaran awam permulaan (IPO) THMY adalah RM44.6 juta melibatkan sejumlah 143.9 juta saham baharu dengan harga melonjak 158% apabila didagangkan 80 sen sesaham ketika penampilan sulung.
Kumpulan kini dalam proses membina kilang baharu yang lebih besar di Batu Kawan, Pulau Pinang, dan dijangka siap pada suku kedua tahun 2028 bagi meningkatkan kapasiti operasi. - DagangNews.com






