Keuntungan Dayang dianggar pulih berperingkat mulai 2H27, BIMB Securities potong unjuran Core PATAMI FY26 dan FY27

LocalBusiness & Finance
20 Nov 2026 • 9:45 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Keuntungan Dayang dianggar pulih berperingkat mulai 2H27, BIMB Securities potong unjuran Core PATAMI FY26 dan FY27 Image from: Keuntungan Dayang dianggar pulih berperingkat mulai 2H27, BIMB Securities potong unjuran Core PATAMI FY26 dan FY27 liza20/11/2026 - 09:45 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 20 Nov – Pemulihan keuntungan Dayang Enterprise Holdings Berhad dijangka mengambil masa lebih panjang apabila BIMB Securities Research menyemak turun unjuran keuntungan kumpulan itu bagi tahun kewangan 2026 (FY26) dan FY27 susulan jangkaan aktiviti operasi luar pesisir yang masih perlahan.

 

Firma penyelidikan itu mengurangkan unjuran keuntungan teras selepas cukai dan kepentingan minoriti (Core PATAMI) Dayang bagi FY26 sebanyak 19% kepada RM124 juta daripada RM153 juta sebelum ini.

 

Unjuran bagi FY27 turut dikurangkan 11% kepada RM145 juta berbanding RM162 juta sebelum ini, mencerminkan jangkaan pemulihan arahan kerja yang lebih perlahan daripada jangkaan.

 

BIMB Securities berkata, aktiviti operasi kumpulan dijangka kekal sederhana pada separuh pertama 2027 (1H27), sebelum menunjukkan tanda pemulihan pada separuh kedua tahun sama (2H27).

 

Pemulihan pendapatan bergantung kepada aktiviti luar pesisir

Menurut firma penyelidikan itu, jangkaan berkenaan mengambil kira kelemahan berterusan dalam aktiviti luar pesisir serta tempoh pemulihan pesanan kerja yang lebih panjang.

 

Sehubungan itu, BIMB Securities menjangkakan pemulihan keuntungan Dayang berlaku secara berperingkat, dengan unjuran pendapatan FY26 dan FY27 yang lebih rendah berbanding anggaran terdahulu.

 

“Bagaimanapun, Dayang mempunyai buku tempahan kontrak berdasarkan panggilan bernilai kira-kira RM4.66 bilion yang menyediakan keterlihatan pendapatan bagi tempoh akan datang.

 

“Nilai kontrak itu menjadi antara faktor sokongan kepada prospek kumpulan meskipun aktiviti operasi dijangka mengambil masa untuk kembali pulih,” kata BIMB Securities dalam nota kajiannya.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Aktiviti penyelenggaraan pelantar minyak merosot, PAT Dayang jatuh 58.6% pada 3QFY26

 

Kedudukan tunai RM678 juta sokong pembayaran dividen

Selain buku tempahan kontrak, BIMB Securities turut mengambil kira kedudukan tunai bersih Dayang yang besar, berjumlah kira-kira RM678 juta atau bersamaan RM0.59 sesaham.

 

Kedudukan kewangan itu dijangka menyokong keupayaan kumpulan mengekalkan pembayaran dividen ketika berdepan tempoh pemulihan operasi yang lebih panjang.

 

BIMB Securities mengunjurkan dividen sesaham (DPS) Dayang sebanyak 10 sen bagi FY27, bersamaan hasil dividen sebanyak 8.6% berdasarkan harga saham ketika laporan itu diterbitkan.

 

Harga sasaran diturunkan kepada RM1.65

Dalam pada itu, BIMB Securities mengekalkan saranan 'Beli' terhadap saham Dayang, namun menurunkan harga sasaran kepada RM1.65 daripada RM1.85 susulan semakan menurun terhadap unjuran keuntungan.

 

Berdasarkan harga saham RM1.16 pada 20 November 2026, harga sasaran baharu itu menawarkan potensi kenaikan sebanyak 42.2%.

 

Firma penyelidikan itu berkata, penilaian saham yang menarik, hasil dividen yang dijangka tinggi serta kemungkinan pemulihan aktiviti luar pesisir menjelang 2H27 terus menyokong saranan berkenaan. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved