liza20/11/2026 - 09:13 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 20 Nov – BIMB Securities menaik taraf saranan saham Malaysian Pacific Industries Berhad (MPI) kepada Beli daripada Pegang dengan harga sasaran kekal RM49 sesaham, berikutan jangkaan peningkatan sumbangan keuntungan daripada kilang pengeluaran syarikat di Bangkok, Thailand.
Firma penyelidikan itu berkata, walaupun keuntungan teras selepas cukai dan kepentingan minoriti (Core PATAMI) MPI merosot 5.1% kepada RM49.8 juta bagi suku pertama berakhir 30 September 2026 (1QFY27), prospek pertumbuhan keuntungan dijangka bertambah baik apabila operasi kilang Bangkok meningkatkan kapasiti pengeluaran.
“Prestasi keuntungan suku berkenaan berada sedikit di bawah jangkaan kami dan konsensus pasaran, masing-masing merangkumi 19.1% dan 19.6% daripada unjuran keuntungan setahun penuh FY27.
“Bagaimanapun, hasil MPI meningkat 23.7% kepada RM785.3 juta berbanding RM634.8 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya, disokong pertumbuhan merentas pasaran geografi utama, khususnya Amerika Syarikat dan Asia,” kata firma itu dalam nota kajiannya.
Tekanan margin jejas pertumbuhan keuntungan
Dari segi prestasi operasi, keuntungan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) meningkat 15% kepada RM161.2 juta berbanding RM140.2 juta pada 1QFY26.
Namun, keuntungan sebelum cukai (PBT) susut 3.5% kepada RM75.6 juta daripada RM78.3 juta, manakala margin PBT mengecil kepada 9.6% berbanding 12.3% dalam tempoh sama tahun sebelumnya.
Margin keuntungan teras selepas cukai turut merosot kepada 6.3% daripada 8.3%, menunjukkan pertumbuhan hasil masih belum diterjemahkan kepada peningkatan keuntungan pada kadar yang sama.
Secara suku ke suku, hasil MPI meningkat 6.6% daripada RM736.6 juta pada 4QFY26, manakala EBITDA bertambah 17.2% daripada RM137.6 juta. Core PATAMI pula meningkat 1.7% daripada RM49 juta.
BIMB Securities tidak mengubah unjuran pendapatan MPI bagi FY27 hingga FY29 pada peringkat ini kerana berpendapat masih terlalu awal untuk menyemak semula andaian kewangan, mengambil kira pertumbuhan hasil yang memberangsangkan serta fasa pengembangan operasi kumpulan.
Kilang Bangkok pemacu keuntungan akan datang
Menurut firma penyelidikan itu, MPI kini berada dalam fasa peralihan apabila pelaburan syarikat mendahului pertumbuhan keuntungan, namun potensi kemudahan pengeluaran di Bangkok menjadi antara faktor yang menyokong prospek keuntungan kumpulan.
“Kilang berkenaan disokong program pengeluaran yang telah dipersetujui bersama pelanggan utama yang memberikan kepastian lebih tinggi terhadap peningkatan penggunaan kapasiti pengeluaran secara berperingkat.
“Kami menjangkakan perkembangan itu menyokong trajektori keuntungan yang lebih baik dalam beberapa suku akan datang, selain meningkatkan keuntungan apabila rangkaian kemudahan pembuatan MPI yang diperluaskan mencapai tahap operasi lebih matang,” katanya.
Firma penyelidikan itu mengunjurkan Core PATAMI MPI meningkat kepada RM261.3 juta pada FY27 berbanding RM198.4 juta pada FY26, sebelum bertambah kepada RM311.1 juta pada FY28 dan RM378.8 juta pada FY29.
Dari segi hasil, MPI diunjurkan mencatatkan RM2.72 bilion pada FY27, meningkat kepada RM2.95 bilion pada FY28 dan RM3.30 bilion pada FY29.
Harga sasaran ditetapkan RM49 itu mewakili potensi kenaikan sebanyak 34.2%. Penilaian berkenaan berdasarkan unjuran keuntungan sesaham FY27 dan nisbah harga kepada pendapatan hadapan (PER) lebih tinggi sebanyak 37.4 kali, iaitu dua sisihan piawai melebihi purata PER hadapan tiga tahun MPI.
BIMB Securities berkata, kelemahan harga saham MPI kebelakangan ini sebahagian besarnya didorong sentimen pasaran susulan kebimbangan terhadap peraturan berkaitan kecerdasan buatan (AI) di Amerika Syarikat serta sekatan eksport semikonduktor.
Pada pandangan firma itu, perkembangan luaran berkenaan telah membayangi potensi keuntungan asas MPI, sekali gus mewujudkan peluang kemasukan pelaburan lebih menarik pada paras harga semasa.- DagangNews.com





