Kenaikan kos bahan mentah tenusu jadi cabaran Dutch Lady kekalkan margin keuntungan pada FY27 – BIMB Securities

LocalBusiness & Finance
19 Nov 2026 • 9:34 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Kenaikan kos bahan mentah tenusu jadi cabaran Dutch Lady kekalkan margin keuntungan pada FY27 – BIMB Securities Image from: Kenaikan kos bahan mentah tenusu jadi cabaran Dutch Lady kekalkan margin keuntungan pada FY27 – BIMB Securities liza19/11/2026 - 09:34 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 19 Nov – Kenaikan harga bahan mentah tenusu, inflasi komoditi dan ketidaktentuan kadar pertukaran mata wang asing menjadi cabaran kepada Dutch Lady Milk Industries Berhad dalam mengekalkan margin keuntungan menjelang tahun kewangan 2027 (FY27).

 

BIMB Securities berkata, faktor berkenaan boleh memberi tekanan kepada margin keuntungan kumpulan walaupun prospek operasi kekal positif susulan peningkatan kecekapan pengeluaran dan pemulihan keuntungan selepas selesai proses peralihan operasi ke kilang Baharu di Enstek, Negeri Sembilan.

 

Bagaimanapun, firma penyelidikan itu menjangkakan peningkatan margin keuntungan dapat dikekalkan, disokong kecekapan operasi yang lebih baik di fasiliti berkenaan serta permintaan pengguna yang berterusan.

 

Sehubungan itu, BIMB Research menaikkan unjuran keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) Dutch Lady bagi FY26 hingga FY28 antara 8.7% hingga 11.2%.

 

Firma penyelidikan itu menaikkan unjuran keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) kepada RM154.4 juta bagi FY26, berbanding unjuran sebelumnya RM138.9 juta.

 

Bagi FY27, unjuran PATAMI dinaikkan 9.4% kepada RM187.8 juta daripada RM171.7 juta, manakala bagi FY28, ia ditingkatkan 8.7% kepada RM213.3 juta berbanding RM196.2 juta sebelum ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Inovasi produk, saluran jualan baharu tingkatkan hasil Dutch Lady kepada RM1.18 bilion pada 9MFY26

 

Kecekapan operasi, aliran tunai sokong prospek

BIMB Research berkata, prospek Dutch Lady bagi FY26 kekal positif, disokong permintaan pengguna yang berterusan, inovasi produk, pengembangan saluran jualan luar rumah serta manfaat kecekapan operasi daripada kilang baharu itu.

 

Selain itu, kedudukan kewangan kumpulan turut bertambah baik selepas melunaskan sepenuhnya pinjaman antara syarikat, selain meningkatkan aliran tunai operasi kepada RM100.1 juta bagi tempoh sembilan bulan pertama FY26 berbanding RM67.5 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya.

 

BIMB Securities turut melihat secara positif cadangan kerjasama dengan Jemaluang Dairy Valley Sdn Bhd (JDV) kerana ia dapat meningkatkan keupayaan Dutch Lady mendapatkan bekalan susu tempatan serta memperluas penyertaannya dalam segmen susu segar.

 

Bagaimanapun, kerjasama berkenaan dijangka memberikan kesan minimum terhadap keuntungan kumpulan dalam jangka pendek.

 

Kekalkan saranan beli, harga sasaran RM34

Dalam perkembangan berkaitan, BIMB Securities mengekalkan saranan 'Beli' terhadap saham Dutch Lady dengan harga sasaran tidak berubah pada RM34 sesaham, berdasarkan kaedah penilaian aliran tunai dividen (DDM).

 

Firma penyelidikan itu berkata, kelemahan harga saham baru-baru ini menyediakan peluang untuk pelabur mengumpul saham syarikat berkenaan, mengambil kira profil keuntungan yang semakin baik, kedudukan kewangan tanpa hutang serta keupayaan menjana aliran tunai. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved