sarah12/11/2026 - 17:44 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 12 Nov - Keuntungan selepas cukai Johor Plantations Group Berhad (JPG) hampir berganda kepada RM100.3 juta pada suku ketiga berakhir 30 September 2026 berbanding RM51.3 juta pada suku sebelumnya, didorong pemulihan pengeluaran buah sawit serta harga jualan minyak sawit mentah (MSM) yang menggalakkan.
Peningkatan keuntungan sebanyak 95.6% itu disokong pengeluaran tandan buah segar (BTS) daripada ladang sendiri yang melonjak 35.6% kepada 292,352 tan metrik, susulan pemulihan bermusim yang turut membantu meningkatkan margin keuntungan kumpulan.
Jumlah BTS yang diproses pula meningkat 18.4% kepada 411,943 tan metrik, manakala penghantaran MSM dan isirung sawit masing-masing bertambah 6.2% dan 15.7% berbanding suku sebelumnya.
Peningkatan jumlah penghantaran kedua-dua produk itu mencerminkan pemulihan aktiviti operasi kumpulan pada suku ketiga, apabila bekalan BTS yang lebih tinggi membolehkan JPG meningkatkan pemprosesan dan penghantaran hasil sawit.
Bagaimanapun, bagi sembilan bulan berakhir 30 September 2026, pengeluaran BTS daripada ladang sendiri masih merosot 11.8% kepada 712,829 tan metrik berbanding 808,622 tan metrik dalam tempoh sama tahun lalu, menunjukkan pemulihan pengeluaran pada suku ketiga belum mengimbangi penyusutan keseluruhan tahun ini.
Hasil sembilan bulan cecah RM1.22 bilion
Bagi tempoh sembilan bulan itu, JPG merekodkan hasil RM1.22 bilion berbanding RM1.23 bilion setahun sebelumnya, manakala keuntungan selepas cukai berjumlah RM201.9 juta. Lembaga pengarah turut mengisytiharkan dividen interim ketiga sebanyak 1.50 sen sesaham bagi tahun kewangan 2026.
Pengarah Urusan JPG, Mohd Faris Adli Shukery berkata, kumpulan kekal komited melaksanakan program penanaman semula dipercepatkan antara 2026 hingga 2028 bagi meningkatkan produktiviti ladang dalam jangka panjang melalui penggunaan bahan tanaman berkualiti dan penambahbaikan kecekapan operasi.
“Kami juga sedang memperluas penggunaan mekanisasi dan penyelesaian digital di seluruh ladang serta kilang bagi meningkatkan produktiviti tenaga kerja, menambah baik kualiti produk dan kebolehkesanan, selain memperkukuh usaha pengurusan kos,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, JPG mengekalkan prospek pengeluaran yang positif hasil peningkatan produktiviti dan kecekapan operasi, namun terus berwaspada terhadap kemungkinan gangguan cuaca, khususnya susulan permulaan musim tengkujuh pada November 2026.
Kompleks sawit bersepadu dijangka mula beroperasi pada 2027
“Kami akan terus memperkukuh daya tahan operasi bagi memastikan prestasi kumpulan dapat dikekalkan dalam jangka panjang,” katanya sambil menegaskan kepentingan persediaan menghadapi keadaan cuaca yang tidak menentu.
Sementara itu, pembangunan Kompleks Minyak Sawit Mampan Bersepadu (iSPOC) JPG terus menunjukkan kemajuan, dengan kilang penapisan minyak dan lemak khusus, kilang penghancuran isirung sawit serta loji janakuasa biojisim di bawah fasa pertama dijadual melalui proses pentauliahan menjelang Disember 2026.
Kemudahan lain di kompleks berkenaan dijangka memulakan operasi komersial secara berperingkat pada separuh pertama 2027, sekali gus menyokong usaha JPG mengembangkan perniagaan daripada aktiviti perladangan kepada pengeluaran produk hiliran bernilai lebih tinggi serta memperkukuh kedudukannya dalam sektor biotenaga.- DagangNews.com






